[VIDEO] Hisyam tidak kemuka hujahan dalam rayuan Najib

Hisyam Teh Poh Teik - Foto Bernama
Hisyam Teh Poh Teik - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Peguam Hisyam Teh Poh Teik memberitahu Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis bahawa beliau tidak akan mengemukakan hujahan dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika bersidang di hadapan lima panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Hisyam sepatutnya membuat hujahan sebelum dibalas oleh pasukan pendakwaan selaku responden.

Hisyam selaku peguam utama juga memilih untuk mengguna pakai hujahan yang dikemukakan peguam terdahulu Najib, ketika di Mahkamah Rayuan tahun lalu.

Tengku Maimun: Kamu mahu mengemukakan hujahan lanjut?

Hisyam: Tidak.

Tengku Maimun: Adakah kamu sahkan bahawa kamu tidak ada apa-apa untuk dinyatakan berhubung 94 alasan dalam petisyen rayuan ini?

Hisyam: Tiada apa-apa untuk dinyatakan.

Tengku Maimun: Jadi adakah kamu bergantung kepada hujahan di Mahkamah Rayuan mengenai penemuan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi?

Hisyam: Hujahan daripada yang terdahulu, ya.

Mahkamah kemudian mengarahkan prosiding rayuan akhir bermula dengan hujahan daripada pasukan responden yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram.

Ketika prosiding pagi Khamis, Hisyam selaku peguam utama Najib memohon kepada mahkamah untuk menarik diri daripada mewakili Najib.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan itu dengan berpandangan bahawa, peguam gagal untuk memberikan alasan yang mencukupi bagi menarik diri.

Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Prosiding ditangguhkan sementara untuk rehat tengah hari.