Hisyam ulangi pendirian tidak akan berhujah Selasa depan

Hisyam tiba bagi pendengaran rayuan kes SRC International Sdn Bhd Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Persekutuan hari ini. Foto Bernama
Hisyam tiba bagi pendengaran rayuan kes SRC International Sdn Bhd Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Persekutuan hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Peguam Hisyam Teh Poh Teik sekali lagi memberitahu Mahkamah Persekutuan di sini pada Jumaat bahawa beliau tidak akan membuat sebarang hujahan dalam prosiding rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa depan.

Beliau mengulangi pendirian itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram selesai berhujah di hadapan lima panel hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Turut bersidang empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Bagaimanapun Tengku Maimun menegaskan bahawa pihak pembelaan mempunyai tiga hari untuk membuat persediaan bagi hujahan.

“Jangan beritahu kami Tuan Haji tidak bersedia untuk mengemukakan mana-mana hujahan daripada 94 alasan dalam petisyen rayuan (yang difailkan oleh peguam terdahulu Najib)?” katanya.

Tengku Maimun: Tuan Haji ada tiga hari untuk bersedia, esok Sabtu, Ahad dan Isnin.

Hisyam: Saya tidak akan membuat hujahan.

Tengku Maimun: Tiga hari untuk bersedia, tidak perlu failkan hujahan bertulis, hujah sahaja secara lisan.

Hisyam: Tiada hujahan.

Tengku Maimun: Walaupun secara lisan?

Hisyam: Walaupun secara lisan.

Tengku Maimun: Baiklah, Tuan Haji bebas untuk buat keputusan. Kita bincang semula semasa prosiding Selasa depan.

Sebelum prosiding tamat, peguam itu turut memohon agar mahkamah dapat menangguhkan prosiding sehingga Khamis depan kerana mempunyai prosiding kes lain.

Bagaimanapun, Tengku Maimun berkata, mahkamah tidak akan menangguhkan kes itu dengan mengambil kira keputusan telah dibuat tiga hari lalu.

Beliau berkata, dalam rekod mahkamah, Hisyam masih lagi bertindak sebagai peguam utama bekas Perdana Menteri itu.

Susulan itu, Hisyam memohon agar mahkamah dapat mengecualikan kehadirannya di mahkamah pada prosiding tersebut.

Namun permohonannya ditolak kerana mahkamah tidak akan menunda kes hanya kerana isu berkenaan.

Prosiding bersambung Selasa depan.