X

Kindly register in order to view this article
!

Umno Johor akur penggantungan Muhyiddin

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A

PASIR GUDANG - Umno Johor akur dengan penggantungan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden parti, berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau percaya pasti ada yang suka dan tidak dengan keputusan dibuat Majlis Tertinggi (MT) Umno.‎

Bagaimanapun, menurutnya, ahli Umno perlu terus bergerak dalam parti sekali gus menerima keputusan yang sudah dibuat MT.

"Dari awal saya mengiringi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan saya tidak hadir mesyuarat MT berikutan menggantikan Tuanku yang tidak berkesempatan hadir di sini (Perasmian Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang).

"Saya tidak tahu apa yang dibincangkan dalam mesyuarat itu, tetapi kalau diambil dari kenyataan dibuat akhbar dan juga MT, ia merujuk pada soal betapa perlunya Timbalan Presiden itu membantu menjayakan tanggungjawab Presiden parti.

"Saya percaya apa pun keputusan dibuat akan ada yang suka dan tidak suka, tetapi hakikatnya, kita perlu bergerak dalam parti dan keputusan sudah dibuat MT. Saya percaya dan akur," katanya ketika diminta mengulas keputusan sebulat suara MT Umno menggantung jawatan Muhyiddin selaku Timbalan Presiden parti, hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berharap Umno negeri ini, dapat terus melaksana dan meletakkan keutamaan dalam agenda penyatuan parti.

Ditanya sama ada prestasi Umno Johor terjejas dengan keputusan berkenaan, Adun Permas itu memberitahu jawatan Timbalan Presiden dipilih dari seluruh negara dan bukan dari Johor semata-mata.

Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan perasmian Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang kali ke-21, di sini, hari ini.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!