X

Kindly register in order to view this article
!

Serah nasib kepada kerajaan negeri

A
A

GEORGETOWN - Adun tunggal Pas, Datuk Salleh Man Mat Aji menyerahkan nasibnya kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan selepas pengumuman Pas pusat berhubung status parti Islam itu di negeri ini.

Salleh Man berkata, dia menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menilainya berikutan sebelum ini menyatakan sokongannya terhadap Kerajaan Negeri Pakatan Harapan.

“Kenyataan Pas pusat tidak sebut Adun (Pas), mereka hanya sebut parti sahaja. Adun lain, parti lain. Saya tidak boleh buat satu penjelasan, ia bergantung kepada Speaker di sini. Saya wakil rakyat ahli kerajaan, sebab itu saya kata saya sokong Kerajaan Pakatan Harapan.

“Kenyataan Pas pusat itu merujuk kepada parti bukan kepada saya sebagai Adun. Persoalannya sekarang, bagaimana pula dengan Selangor kerana di sana juga mempunyai masalah yang sama seperti Pulau Pinang?,” katanya ketika ditemui media di luar dewan persidangan semalam.

Sambil mengakui bercelaru dengan konflik ini, Salleh Man meminta supaya semua pihak berdoa yang terbaik untuknya.

“Saya tidak boleh komen lanjut sebab belum dimaklumkan oleh Pas pusat, malah belum meneliti kenyataan yang dikeluarkan Pas pusat. Saya masih wakil rakyat di Permatang Pasir dan akan terus berkhidmat untuk rakyat di sana.

“Apa yang penting, saya di sini menang atas semangat Pakatan Rakyat (yang terdahulu), kemudian berubah menjadi Kerajaan Pulau Pinang Pakatan Harapan. Apa juga nama, saya tetap ahli kerajaan. Kita draf bersama manifesto sebab itu kita menang pun bersama,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan Pas kini sebagai pembangkang di Pulau Pinang selepas Kerajaan Pulau Pinang memecat 300 ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Komuniti (JKKK) dalam kalangan ahli parti itu di Parlimen Kepala Batas.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!