Tajuddin ingatkan ahli UMNO jangan sabotaj calon PH
IPOH - Ahli UMNO dinasihatkan supaya tidak memboikot calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu kerana tindakan itu tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tindakan tersebut dibimbangi akan memakan diri malah boleh dikenakan tindakan disiplin parti.
"Kalau berani buatlah (tindakan sabotaj) kalau Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) bertindak dipecatnya. Sabotaj UMNO dah tentu tak boleh tapi yang bertanding ini sahabat UMNO. Kalau dia marah nanti dipecatnya kamu.
"Jadi nasihat saya tak usahlah (sabotaj), duduk diam-diam. Kalau tak nak sokong pun duduk diam-diam, jangan sabotaj. Apa faedahnya? Kita buat sesuatu yang berfaedah. Ikut hati mati, ikut rasa binasa," katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Taj Internasional College (TIC), di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Tajuddin berkata, PRK Kuala Kubu Baharu dijangka mudah dimenangi oleh PH malah sama ada menang atau kalah tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan perpaduan.
PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu selepas beberapa tahun bertarung dengan kanser.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!