Ramai tak faham tahaluf siyasi PR

Salahuddin Ayub
A
A

SHAH ALAM - Persepsi negatif terhadap tahaluf siyasi atau kerjasama politik yang dipelopori Pas dengan bukan Islam di negara ini jelas membuktikan bahawa sentimen perkauman sempit masih menebal dalam pemikiran khususnya pemimpin Umno hari ini. Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub mendakwa banyak pihak tidak memahami konsep tahaluf siyasi yang dibawa Pas khususnya dalam gabungan PKR dan DAP dalam PR. "Saya rasa kerangka perkauman itu masih bersarang dalam pemikiran Pas sendiri atau Zainudin Maidin itu sebab beliau sukar memahami apa yang dikatakan dengan tahaluf siyasi itu. "Mungkin dia tak faham tentang tahaluf siyasi yang sedang dan telah dilakukan Pas," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini. Beliau berkata demikian yang turut membidas kenyataan bekas menteri Umno, Tan Sri Zainuddin Maidin semalam yang mendakwa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggali kubur sendiri apabila parti itu memberi laluan dan bertahaluf siyasi dengan bukan Islam. Zainuddin berkata Abdul Hadi seolah-olah ditelan oleh penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila dokumen negara Islam turut diperjuangkan dalam tahaluf siyasi itu. Mengulas lanjut, Salahuddin turut menyifatkan bekas Menteri Penerangan itu sebagai 'dangkal' kerana membuat tuduhan keras itu tanpa mempunyai fakta yang kukuh. Malah tegasnya, dengan tahaluf siyasi Pas mampu menunjukkan sikap sebenar dan pegangan Islam dalam parti itu kepada bukan Islam dalam PR. "Tahaluf siyasi membuktikan Pas mampu menunjukkan sikap Islam untuk terus bersama dalam PR sehingga ke hari ini," katanya lagi.  


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×