Roslan Zainal
A
A

TEMERLOH – Pas Pahang berdiri teguh menyokong ketetapan Majlis Syura Ulama Pas yang bersidang empat hari lalu mempertahankan kuasa pemutus yang dimiliki Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Setiausaha Pas Pahang, Roslan Zainal berkata, presiden parti sememangnya mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan parti seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Pas. “Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan saf kepimpinan Pas di semua peringkat dan ahli di setiap lapisan termasuk kami di negeri ini bertanggungjawab dan berkewajipan untuk melaksanakan segala keputusan dan arahan yang dikeluarkan Presiden Pas seperti mana yang terdapat dalam Perlembagaan Pas,” katanya dalam satu kenyataan media semalam. Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas Pahang, Mokhtar Senik menggesa semua ahli Pas di negeri itu menghormati keputusan Abdul Hadi selaku Presiden Pas. “Ya, kita senada dengan Pas Pahang dalam isu Menteri Besar Selangor ini,” katanya sewaktu dihubungi di sini semalam.

Mokhtar turut menjelaskan kenyataan ‘kesal’ yang disebarkan menerusi laman sosial semalam adalah kenyataan peribadinya. Menurutnya, kenyataan itu disalin daripada akaun rakannya dan ditampal semula menerusi akaunnya. “Apabila saya buat begitu, bermakna saya sokonglah, tetapi itu kenyataan peribadi saya (tiada kaitan dengan Dewan Ulama Pas Pahang),” katanya. Semalam tersebar kenyataan menerusi akaun laman sosial beliau berkaitan dengan beberapa isu 'panas' antaranya kekesalan terhadap PKR kerana mengosongkan kerusi Dun Kajang tanpa sebab. Mokhtar turut melahirkan kesal dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan 'Langkah Kajang' tiada kaitan dengan pertukaran Menteri Besar Selangor tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Beliau juga kesal dengan PKR yang mencipta projek Langkah Kajang tanpa persetujuan Pas dan komponennya.


×