X

Kindly register in order to view this article
!

Pas mungkin kalah teruk PRU14 nanti

A
A

SHAH ALAM - Satu kajian yang dibuat oleh Invoke Malaysia (Invoke) mendapati bahawa Pas berkemungkinan akan kehilangan banyak kerusi yang disandang dan dijangka kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Sany Hamzan mendakwa ini mungkin disebabkan oleh pendekatan Pas yang dilihat tidak konsisten dalam pendekatan serta tidak mempunyai pendirian dalam gerak kerja politik mereka.

“Pemimpin Pas ketika ini menolak secara total Amanah dan Dap sementara itu pengikut parti di peringkat bawahan pula menolak Umno memandangkan sebahagian mereka masih berpegang dengan pandangan lama yang ekstrem terhadap parti itu.

“Kedua-dua pandangan pemimpin serta pengikut Pas ini menyebabkan mereka terpaksa mencipta blok ke-3 dengan strategi "king maker" yang mencorakkan pendekatan yang tidak berpendirian bagaimanapun, rakyat pula merasakan ia yang tidak mampu untuk membuat perubahan kepada tampuk pemerintahan negara,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Pas ada membuat kenyataan bahawa  mana-mana parti pembangkang yang ingin bekerjasama dengan Pas, perlu mengikut cara Pas.

Di samping itu, Pas terbuka mengadakan rundingan dengan mana-mana NGO, mahupun parti politik untuk menghadapi PRU14 kecuali dengan Amanah.

Tambahnya lagi, Pas kini  bergantung kepada  pengundi keliru yang kurang terdedah dengan perkembangan politik dan menganggap parti tersebut masih lagi bernaluri pembangkang.

“Pengundi ini yang kurang terdedah dengan perkembangan politik menganggap bahawa Pas masih lagi pembangkang yang bernaluri pembangkang, sedangkan parti itu sudah berubah 180 darjah.

“Namun begitu, pengundi sebegini dijangka akan berkurang menjelang PRU14 nanti setelah Pakatan Harapan dan Bersatu membuat penerangan menyeluruh tentang pentingnya undian ini untuk selamatkan negara,” katanya lagi.  


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!