X

Kindly register in order to view this article
!

Isu kerusi: DAP ugut tanding di Batu Kitang

Grafik Sinar Online
Grafik Sinar Online
A
A

KUCHING - Pada malam sebelum hari penamaan calon esok, DAP dan PKR masih bertelagah mengenai agihan kerusi bagi setiap parti itu untuk bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak ke-11 (PRN-11), 7 Mei ini.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, parti berkenaan akan bertanding satu kerusi tambahan sekiranya PKR menampilkan calon di luar senarai yang dipersetujui kedua-dua parti itu, sebelum ini.

"Sekiranya ada sebarang pertindihan kerusi, kita akan bertanding di Batu Kitang," katanya.

Kerusi itu adalah satu daripada 11 kerusi baharu yang diperuntukkan kepada PKR, yang mana Voon Shiak Ni telah diumumkan sebagai calon.

[ARTIKEL BERKAITAN: Perbalahan kerusi antara PKR-DAP berlarutan]

"DAP telah mengorbankan Batu Kitang untuk PKR, kerusi yang selamat bagi DAP. Ia adalah usaha untuk berdamai dengan PKR walaupun kajian mendapati pengundi lebih memilih calon DAP. Kini, PKR menuntut lebih banyak kerusi dan ini secara jelas menunjukkan mereka telah melanggar perjanjian antara kedua-dua pihak.

"Pemimpin pusat kedua-dua parti telah bersetuju tidak akan wujud pertindihan kerusi. Jadi, hormati perjanjian itu atau kita menurunkan seorang calon di Batu Kitang," kata Chong pada sidang media di sini hari ini

Beliau turut menunjukkan kepada media perjanjian bertulis antara Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang ditandatangani pada 7 April lepas, yang memperuntukkan Batu Kitang, Marudi, Machan, Layar dan Belaga kepada PKR.

Sementara kerusi Senadin, Mulu, Tasik Biru, Simanggang, Mambong, Bukit Semuja, Ngemah dan Murum akan ditandingi oleh DAP.

PKR dikatakan mahu bertanding di lima kerusi yang diperuntukkan kepada DAP. Sebelum ini, DAP mengumumkan bahawa parti itu akan bertanding di 30 kerusi manakala PKR 40 kerusi, tetapi setakat ini parti itu hanya menamakan 35 calon.     - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!