X

Kindly register in order to view this article
!

Baru gesa PKR Sarawak rekrut ahli hadapi PRN12

Baru Bian
A
A

MUKAH - Ahli PKR Sarawak digesa supaya terus merekrut anggota baharu dan membuka ranting-ranting di kampung mahupun di rumah panjang di seluruh negeri itu.

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata ini bagi memperkuatkan lagi parti dan bersiap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 dalam tempoh dua tahun akan datang.

Menurut beliau, impian rakyat untuk menukar kerajaan di peringkat pusat telahpun tercapai pada PRU14 Mei lalu dan ini menunjukkan perjuangan parti tersebut sejak 20 tahun tidak sia-sia.

"Teruskan dengan membuka ranting di kampung-kampung dan rumah-rumah panjang kerana perjuangan kita belum selesai," katanya semasa merasmikan pejabat PKR Cabang Mukah di Mukah Biotech Economic Zone di sini hari ini.

Setelah BN tewas pada PRU14 yang lalu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak(SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) keluar dari BN dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah diluluskan pendaftarannya pada bulan lalu.

Baru yang juga Menteri Kerja Raya ketika ditemui selepas majlis itu berkata, beliau maklum dengan ketidakselesaan pengguna jalan raya akibat pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo khasnya di jajaran Sibu-Selangau.

"Projek pembinaan sedang dijalankan dan saya sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan pembinaan jalan tersebut tetapi yang penting ialah kontraktor yang terlibat dalam projek itu sentiasa menekankan aspek keselamatan pengguna," katanya. - Bernama


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!