Bekalan air tidak patut dicemari dengan mudah

Keadaan semasa Sungai Gong selepas mengalami insiden pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air. Foto: Bernama
Keadaan semasa Sungai Gong selepas mengalami insiden pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang yang mengakibatkan hampir 1.2 juta akaun pengguna sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air. Foto: Bernama
A
A
A

Air adalah sumber alam yang amat penting kepada kehidupan manusia. Tidak kiralah ia digunakan untuk diminum ataupun cucian, aktiviti seharian kita pastinya bermasalah sekiranya bekalan air terputus.

Masalah gangguan bekalan air susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor beberapa hari lalu kembali berulang menghantui pengguna yang terjejas.

Ini berikutan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran yang dilakukan oleh sebuah kilang membaiki jentera berat yang terletak di Jalan Batu Arang, Rawang, Selangor.

Bahan tercemar itu dibuang ke Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah yang merupakan anak sungai utama Sungai Selangor di mana LRA Rantau Panjang terletak.

Ia sekali gus menjejaskan 1,292 kawasan di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor membabitkan 1.2 juta akaun pengguna terputus bekalan air serta-merta.

Krisis air yang berlarutan selama tiga hingga empat hari lalu mendedahkan pihak pengendali bekalan air iaitu Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) seolah-olah tidak memandang serius mengenai tahap keselamatan dan penjagaan bekalan air kepada pengguna.

Walaupun pengusaha kilang berkenaan telah dibawa ke muka pengadilan, namun ia belum cukup memberikan jaminan kepada kita bahawa kejadian seperti itu tidak akan berlaku lagi.

Apa yang mendukacitakan, syarikat yang dikendalikan oleh empat beradik itu adalah pesalah berulang apabila telah didenda RM60,000 untuk kesalahan sama beberapa bulan yang lalu.

Artikel Berkaitan:

Daripada mengelakkan sungai terus tercemar sehingga menyebabkan bekalan air bersih turut terjejas, sudah sampai masanya kerajaan perlu bertindak dengan lebih tegas lagi tanpa tolak ansur.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini berjanji tindakan penguatkuasaan pelbagai agensi negeri dan Pusat sedang berjalan.

Adalah diharapkan peruntukan undang-undang sedia ada juga diubah agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah.Saranan

Begitu juga jaminan yang diberikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa beliau akan membawa cadangan meminda Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Kualiti Alam Sekeliling bagi memperuntukkan hukuman lebih berat kepada pesalah.

Selain saranan dan cadangan daripada kedua-dua Menteri itu, bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago mencadangkan agar sebuah badan khas ditubuhkan bagi melindungi sungai di negara kita daripada terus tercemar.

Katanya, badan itu perlu mewujudkan kawasan penampan seluas 300 hingga 400 meter di sekitar sungai dan tiada lagi kegiatan perniagaan boleh dilakukan di situ.

Beliau turut menggesa kerajaan menubuhkan Lembaga Perlindungan Sungai Negara dengan mewujudkan zon penampan seluas 300 hingga 400 meter.

Dengan badan khas itu, beliau berharap polis dan badan penguat kuasa lain boleh ditugaskan untuk memantau sesebuah kawasan dengan bantuan kamera litar tertutup (CCTV) dan teknologi lain.

Kita turut mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa kerajaan negeri Selangor akan meminda Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 bagi menaikkan denda kepada pesalah yang mencemar sumber air di negeri itu.

Katanya, kerajaan negeri Selangor berhasrat menaikkan hukuman denda maksimum daripada RM500,000 kepada RM1 juta terhadap individu atau premis yang mencemari sumber air.

Bagi pihak Air Selangor pula, ia sepatutnya merangka perancangan lebih tersusun agar tidak semestinya menutup LRA ketika berlaku pencemaran sehingga pengguna terputus bekalan air.

Pengguna sudah serik kerana setiap kali berlaku pencemaran, LRA pastinya ditutup selama beberapa hari.

Sumber air amat diperlukan setiap orang dan merupakan sumber penting dan tidaklah keterlaluan jika ia dikategorikan sebagai keselamatan negara.

Mana-mana pihak yang mencemarinya bolehlah disamakan seperti pengkhianat negara dan seharusnya dihukum berat.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian