Air Selangor nafi bekalan air ditutup semula, dicatu

Lokasi kawasan yang sudah pulih dan masih terjejas akibat gangguan bekalan air sejak Khamis lalu. - Air Selangor
Lokasi kawasan yang sudah pulih dan masih terjejas akibat gangguan bekalan air sejak Khamis lalu. - Air Selangor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menafikan mesej tular di media sosial yang mendakwa bekalan air akan ditutup semula dan catuan akan dilakukan.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri turut menafikan dakwaan kualiti air tidak selamat sebaliknya menasihatkan supaya air dibiarkan sehari sebelum boleh digunakan.

Menurutnya, pengguna dinasihatkan supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

“Air Selangor memohon kerjasama pengguna untuk tidak menyebarkan mesej tidak sahih tersebut bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna lain.

“Pengguna dinasihatkan untuk merujuk aplikasi Air Selangor, semua saluran rasmi sosial media Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com untuk mendapatkan maklumat sahih berhubung info terkini bekalan air,” katanya.

Menurutnya, Air Selangor memberi jaminan bahawa kualiti bekalan air yang diagihkan kepada pengguna adalah selamat dan menepati piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Terdahulu, beliau memaklumkan sebanyak 811 kawasan atau 62.7 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh daerah di Lembah Klang pulih sepenuhnya setakat 6.30 petang tadi.

Menurutnya, baki 481 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Kuala Selangor mencatat peratusan pemulihan tertinggi setakat ini iaitu 99.2 peratus, diikuti Hulu Selangor (94.1 peratus), Gombak (66.4 peratus), Petaling (66.1 peratus), Kuala Langat (50 peratus), Kuala Lumpur (41.3 peratus) serta Klang dan Shah Alam (24.2 peratus).