Perkauman di AS tidak akan reda

No Image Caption
A
A
A

KEMATIAN seorang suami berkulit hitam dan bapa kepada lima orang anak pada 30 Mac lalu di Rochester, New York merupakan insiden terbaru yang mencetuskan tunjuk perasaan dan kemarahan terhadap layanan tidak adil pihak berkuasa terhadap penduduk minoriti tersebut.

Lelaki kulit hitam itu, Daniel Prude, ditangkap ketika tidak memakai pakaian manakala kepala lelaki itu diserkup dengan sejenis kain fabrik bagi mengelak dia meludah, tangan digari serta dipaksa meniarap sehingga sukar bernafas dan terpaksa dihantar ke sebuah hospital sebelum meninggal dunia beberapa hari kemudian.

Video rakaman kejadian itu didedahkan oleh keluarga dan aktivis-aktivis pada Rabu lalu susulan siri kematian lelaki dan wanita berkulit hitam yang berlaku akibat layanan tidak adil polis dan pihak berkuasa undang-undang Amerika Syarikat (AS).

Pada Mei lalu, seorang lelaki berkulit hitam, George Floyd, meninggal dunia di sebuah hospital selepas dia mengadu sukar bernafas akibat ditangkap oleh beberapa pegawai polis berkulit putih melalui teknik menggunakan lutut dan menekan lehernya di Minneapolis.

Kejadian yang menimpa Floyd itu kemudian mencetuskan tunjuk perasaan ganas sehingga mengakibatkan kematian di seluruh AS.

Bandar Portland yang dihuni oleh 650,000 penduduk yang mempunyai lebih 70 peratus warga berkulit putih telah melakukan demonstrasi hampir pada setiap malam bagi menuntut keadilan sosial dan kebertanggungjawaban polis.

Isu mengenai layanan yang didakwa tidak adil terhadap penduduk kulit hitam kini telah menjadi satu perdebatan hangat di AS.

Bukan sahaja Floyd dan Prude, malah penggunaan kuasa berlebihan berlaku juga terhadap seorang wanita kulit hitam, Breonna Taylor yang didakwa silap ditembak mati sebanyak lapan kali oleh beberapa pegawai polis di Louisville manakala Jacob Blake lumpuh akibat ditembak dari arah belakang pada jarak dekat.

Artikel Berkaitan:

Floyd sebelum ini ditangkap kerana didakwa menggunakan wang palsu manakala Prude ditahan kerana dikatakan mengalami tekanan mental setelah seorang saudara kandung lelakinya menghubungi polis bimbang dengan kelakuan ganjilnya.

No Image Caption

Blake pula ditembak tujuh kali pada jarak dekat dari belakang badan ketika polis mahu menyerahkan waran kepadanya atas dakwaan menyerang seorang wanita dipercayai bekas kekasihnya.

Taylor pula mati ditembak dalam satu kejadian tembak-menembak manakala kekasihnya terselamat selepas anggota polis yang berpakaian biasa memecahkan pintu kediaman wanita itu tanpa waran dalam operasi mencari dadah.

Kemarahan

Dua lagi anggota syerif Los Angeles telah mencetuskan kemarahan masyarakat kulit hitam kerana seorang lelaki berkulit hitam, Dijon Kizzee ditembak mati ketika mengayuh basikal setelah diarahkan berhenti selepas didakwa melanggar kod menggunakan kenderaan.Satu-satunya pengusaha pakaian berkulit hitam di Tiburon, California, Yema Khalif pula mendakwa, seorang pegawai polis menuntut bukti yang menunjukkan dia merupakan pemilik kedai pakaian tersebut,

“Dia menuntut untuk mengetahui apa kami (beberapa orang berkulit hitam) lakukan di dalam kedai tersebut pada jam 1 pagi dan dia mahu saya membuktikan siapa saya,” kata Khalif dalam satu temu ramah dengan stesen berita ABC7 baru-baru ini.

Berikutan kejadian itu, satu tunjuk perasaan diadakan bagi membantah tindakan pegawai polis itu yang didakwa mempunyai motif perkauman walaupun dinafikan oleh polis Tiburon. Sehubungan itu, seorang profesor psikologi berkulit hitam di Universiti Stanford, Steven O Roberts berkata: “Perkauman di Amerika masih hidup.”Dia yang menulis satu artikel dalam jurnal American Psychologist menyatakan perkauman kini merupakan masalah yang masih membelenggu penduduk negara itu.

Justeru, boleh dikatakan negara itu belum lagi lari daripada masalah ketidakadilan sosial dan pemerintah AS perlu melakukan pembaharuan yang besar dalam institusi kepolisian dan keadilan sosial.

Negara itu tidak sewajarnya berbangga mempunyai presiden berkulit hitam pertama, Barack Obama, setiausaha negara daripada keturunan Afrika-Amerika iaitu Colin Power dan Condoleezza Rice tetapi mesti bergerak ke hadapan dalam memberikan layanan adil terhadap penduduk bukan berkulit putih.