X

Kindly register in order to view this article
!

Pencemaran Sungai Gong: Pas Selangor desak kilang diroboh

Syarhan Humaizi (tengah) dan Hanafi (dua dari kanan) bersama peserta demonstrasi aman di Jalan Batu Arang, Sungai Dua, Rawang hari ini.
A
A

RAWANG - Pas Selangor menggesa kerajaan negeri bukan hanya menutup bahkan turut merobohkan kilang yang menyebabkan pencemaran Sungai Gong hingga menjejaskan 1.2 juta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Penerangan Pas Selangor, Syarhan Humaizi Abd Halim berkata, rakyat Selangor berdepan gangguan air saban tahun termasuk yang terbaru sejak Khamis lalu disebabkan isu pencemaran berulang.

Menurutnya, tindakan kilang yang beroperasi di Jalan Batu Arang Kampung, Sungai Dua itu sebagai tidak bertanggungjawab dan memudaratkan rakyat Selangor.

"Kita minta premis ini ditutup dan dirobohkan terus, kita dimaklumkan premis yang menyebabkan pencemaran ini masih beroperasi jadi kita minta tindakan tegas.

"Bukan hanya kilang ini, mana-mana kilang yang menyebabkan pencemaran perlu dipantau dengan tegas pihak berwajib," katanya pada demonstrasi aman 'Roboh Kilang Pencemar Sungai Sumber Air Selangor' di sini hari ini.

Program anjuran Lajnah Penerangan dan Media Baharu Pas Selangor itu turut dihadiri Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berbincang dengan pihak penganjur demonstrasi aman yang diadakan di Jalan Batu Arang, Sungai Dua, Rawang hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berbincang dengan pihak penganjur demonstrasi aman yang diadakan di Jalan Batu Arang, Sungai Dua, Rawang hari ini.

Syarhan Humaizi berkata, Pas Selangor turut mendesak pemilik kilang berlesen yang beroperasi berhampiran sungai dipindahkan ke lokasi baharu bagi mengelak pencemaran.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut juga perlu menjalankan siasatan ke atas pihak terlibat yang membenarkan kilang sama terus beroperasi.

"Saya minta SPRM buka kertas siasatan berhubung isu ini kerana kami dimaklumkan kilang ini pernah dikompaun (pada Mac), namun masih dibenarkan beroperasi.

"Saya simpati dengan rakyat Selangor yang terpaksa bertungkus lumus mengangkut air setiap kali gangguan bekalan berlaku," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kilang punca pencemaran Sungai Gong sudah disita

Kilang jentera berat disyaki punca pencemaran Sungai Gong

Pencemar tanggung kos pembersihan sungai

Sementara itu, Hanafi menggesa kerajaan negeri mewartakan kawasan tebing sungai sebagai kawasan tadahan air untuk menghentikan operasi kilang berhampiran sungai.

"Banyak premis dan kilang berada di kawasan berhampiran sungai yang berpotensi mencemarkan sumber air mentah di Selangor.

"Pengusaha kilang mengaut keuntungan, namun rakyat Selangor dan Kuala Lumpur menanggung derita akibat isu sama setiap tahun," katanya.

Terdahulu, syarikat pengurusan Air Selangor memaklumkan bekalan air di sekitar Lembah Klang mengalami gangguan selepas penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang disebabkan pencemaran bau.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semalam memaklumkan sebuah kilang disita dan dikenakan kompaun serta-merta selepas dipercayai melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

ARTTIKEL BERKAITAN: Pencemaran Sungai Gong: Empat beradik pemilik kilang ditahan


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!