Anak wajib dapat pendidikan rendah, menengah

Nie Ching (empat dari kiri) merasmikan program Ziarah Cakna peringkat kebangsaan di Pejabat Pendidikan Kulai.
Nie Ching (empat dari kiri) merasmikan program Ziarah Cakna peringkat kebangsaan di Pejabat Pendidikan Kulai.
A
A
A

KULAI - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan kajian bagi meminda Akta Pendidikan 1996 di mana ibu bapa wajib menghantar anak mereka mengikuti pelajaran rendah dan menengah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Yeo Nie Ching berkata pindaan melalui Seksyen 29A(2) itu penting bagi Kementerian Pendidikan memperluaskan pendidikan wajib kepada anak-anak.

Katanya, Kementerian Pendidikan juga mahu memastikan tahap keciciran murid dan pelajar berkurangan dengan kesedaran dalam kalangan ibu bapa menghantar anak ke sekolah dipertingkatkan.

"Bukan setakat undang-undang sahaja perlu dikuatkuasakan tetapi isu ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke sekolah perlu difahami semua pihak.

"Selain masalah kewangan terdapat juga punca lain seperti masalah rumah tangga yang menjadi penyebab ibu bapa tidak anak mereka ke sekolah," katanya.

Beliau ditemui pada sidang media Majlis Pelancaran Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan di Pejabat Pendidikan Kulai (PPD) di sini hari ini.

Nie Ching (tengah) menyerahkan sumbangan kepada M Yamunah, 35, ibu kepada S Hemanarth di rumahnya di Taman Mewah Kulai.
Nie Ching (tengah) menyerahkan sumbangan kepada M Yamunah, 35, ibu kepada S Hemanarth di rumahnya di Taman Mewah Kulai.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif; Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Mohd Jamil Mohamed; Pegawai Pendidikan Daerah Kulai, Zainal Buang dan Ketua Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti Daerah Kulai (KPIBKDK), Noralisalawati Ali.

Artikel Berkaitan:

Akta Pendidikan 1996 melalui Seksyen 29A(2) mewajibkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka mengikuti pelajaran rendah selama enam tahun sekiranya gagal ibu bapa boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua- duanya sekali.

Dalam pada itu Kementerian Pendidikan masih mengekalkan pelaksanaan amalan tidak mengasingkan kelas mengikut tahap penguasaan akademik murid dan sekolah kawalan.

Selain itu, Ujian Kemasukan Tahun Satu juga telah dimansuhkan sepenuhnya bermula tahun ini.

Teo Nie Ching berkata, kementerian murid menjadi keutamaan berbanding melabel murid- murid dengan tahap kepandaian mereka.

Jelasnya, banyak negara maju seperti Findland sudah menghapuskan pengasingan murid di sekolah dan terbukti kaedah tersebut berhasil apabila pencapaian pendidikan negera tersebut cukup baik.

Menerusi program Ziarah Cakna, tiga keluarga murid kurang berkemampuan dilawati dan sumbangan dihulurkan bagi meringankan beban mereka.

Tiga murid tersebut ialah, Erneelya Maisara Zulizwan, 11, (Sekolah Kebangsaan Taman Kota Kulai 2); Noradaniela Iris Melissa Mohd Firdaus Yap,11; (Sekolah Jenis Kebangsaan Kulai Besar) dan S Hemanarth, 8, (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kulai Besar).