14 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 14 kes baharu positif koronavirus (Covid-19) membabitkan 10 kes penularan dalam negara dan empat jangkitan luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan 9,374 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 163 kes. 10 kes penularan dalam negara melibatkan enam kes rakyat tempatan dan empat warga asing.

"Bagi kes melibatkan warga tempatan, tiga kes dikesan daripada Kluster Tawar, dua kes Kluster Benteng LD dan satu kes Kluster Telaga," katanya.

Menurut beliau, dua daripada tiga kes baharu Kluster Tawar dikesan di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran menjadikan jumlah kes positif Covid-19 dalam kluster itu sebanyak 78 kes.

Beliau menambah, empat kes positif Covid-19 dalam kalangan warga asing dikesan di Sabah iaitu Kluster Benteng LD.

"Pesakit tersebut mendapat jangkitan di Singapura (tiga kes) dan satu kes Filipina. Empat pesakit dirawat di unit rawatan rapi termasuk tiga memerlukan bantuan pernafasan.

"Tiada kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan. Justeru jumlah kematian kekal 128 kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, empat kes dilapor telah pulih dan dibenarkan pulang.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 9,083 kes iaitu bersamaan 96.9 peratus daripada jumlah keseluruhan," kata beliau lagi.