Prestasi B-19 belum memuaskan

Wan Kuzri (tengah) antara tonggak skuad B-19 semasa aksi persahabatan baru-baru ini. -Foto: Football Association of Malaysia
Wan Kuzri (tengah) antara tonggak skuad B-19 semasa aksi persahabatan baru-baru ini. -Foto: Football Association of Malaysia
A
A
A

SKUAD Bawah 19 Tahun (B-19) negara yang menjalani kem latihan pusat sejak tujuh minggu lalu masih belum mencapai tahap prestasi memuaskan.

Pengurus pasukan Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar percaya ia dipengaruhi dengan ketiadaan beberapa 'nama besar' dalam skuad B-19 kebangsaan ketika ini yang sedang dalam persiapan menghadapi Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan bulan depan.

Menurutnya, lebih 70 peratus pemain dikumpulkan ketua jurulatih Brad Maloney tidak menunjukkan kematangan dalam permainan berbanding pemain B-19 negara yang beraksi bersama pasukan CIMB Liga Super dan Liga Premier.

"Prestasi mereka agak ketara berbanding pemain yang sedang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) sekarang...itu saya kena akui tetapi ia bukan disebabkan faktor bakat atau kekurangan diri.

"Mereka cuma tidak begitu bersedia, kurang minit perlawanan dan kurang persiapan individu mungkin kerana tiada program latihan khas buat mereka seperti pemain di kelab, selain terlampau lama 'berehat' kesan pandemik Covid-19," katanya semalam.

Skuad B-19 negara yang diperkuatkan dengan kehadiran pemain muda kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal dilihat bergelut untuk membina persefahaman sebagai sebuah pasukan yang baik.

Perkara itu dibuktikan dalam siri perlawanan persahabatan baru-baru ini, menyaksikan skuad itu tewas dua kali masing-masing kepada Petaling Jaya City FC (1-6) serta Selangor II (0-4) sebelum menang 2-1 berdepan skuad Piala Presiden Negeri Sembilan pada aksi terakhir.

Kamarul Ariffin percaya permasalahan itu mampu diatasi skuad B-19 pada kem latihan pusat fasa tiga yang dijadualkan bermula bulan ini apabila ia akan disertai barisan pemain muda handalan negara.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, seramai tujuh dan lapan pemain daripada keseluruhan 30 pemain dipanggil Maloney pada dua kem latihan pusat terdahulu memiliki potensi serta keupayaan setanding pemain B-19 yang beraksi di kancah Liga-M.

"Sehingga 13 pemain di CIMB Liga Super dan Liga Premier adalah tonggak kekuatan skuad B-19...bagi kem fasa tiga, hanya tujuh hingga lapan pemain daripada skuad hari ini akan kekal dan teruskan persaingan merebut slot 23 pemain ke Uzbekistan," jelas Kamarul Ariffin.

Antara tonggak skuad B-19 negara yang beraksi dalam kancah Liga-M ialah Mukhairi Ajmal Mahadi, Firdaus Irman Mohd Fadhil, Azrin Afiq Rusmini, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan Harith Haiqal Adam Afkar dari Selangor II, serta penyerang KV Kortrijk Luqman Hakim Shamsudin.

Pada kejuaraan B-19 AFC 2020 yang akan berlangsung dari 14 hingga 31 Oktober itu, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama bekas juara, Qatar, Tajikistan dan Yaman. - Bernama