X

Kindly register in order to view this article
!

Anggap arahan Najib daripada PM: Saksi

Najib hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, sekiranya Datuk Seri Najib Razak memberi arahan, ia akan diterima sebagai arahan daripada seorang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan berbanding Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat (BOA) 1MDB.

Saksi kesembilan pendakwaan bagi kes rasuah 1MDB dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri itu berkata, ia merujuk ketika menandatangani dokumen membabitkan pinjaman oleh anak syarikat 1MDB sebanyak AS$ 975 juta (RM4.04 bilion).

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam, Wan Aizuddin Wan Mohamed, Shahrol bersetuju bahawa, Najib bertindak selaku penasihat syarikat dan tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

Wan Aizuddin: Setuju dengan saya, Datuk Seri Najib hanya untuk memberi nasihat kepada ahli lembaga pengarah.

Shahrol: Ya, tetapi pada masa sama, beliau adalah Menteri Kewangan dan pemegang saham 1MDB.

Wan Aizuddin: Adakah Datuk seorang penjawat awam?

Shahrol: Ya, ketika berkhidmat sebagai CEO 1MDB, sekarang tidak lagi.

Wan Aizuddin: ketika Najib menandatangani sebarang dokumen, adakah beliau bertindak sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, BOA?

Shahrol: Tidak kisah apa jawatan sekalipun, tetapi mengikut perspektif kami, kami ambil serius dengan setiap arahannya (Najib).

Bagaimanapun, Shahrol berkata, tidak setuju apabila ditanya mengenai minit mesyuarat, tidak sama dengan arahan yang dikeluarkan oleh Najib.

Dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah 1MDB pada 18 Ogos 2014, ia adalah mengenai cadangan pinjaman AS$ 975 juta yang telah ditandatangani oleh Najib sebagai BOA 1MDB.

Memo dengan nota tulisan tangan berkenaan dihantar oleh Pengarah 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail kepada Najib bertulis, ‘Tan Sri Ismee. Perhatikan isi. Tanpa bantahan’.

Wan Aizuddin yang mewakili Najib mencadangkan, bukan pilihan anak guamnya untuk memasukkan memo tersebut kerana Najib tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sebarang arahan.

Namun, Shahrol berkata, tiada komen.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Kes ini dikendalikan oleh Ketua Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala peguam yang mewakili Najib diketuai oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!