Enam individu termasuk dua remaja didakwa urus rumah judi

Sebahagian tertuduh (tengah) dibawa ke mahkamah hari ini.
Sebahagian tertuduh (tengah) dibawa ke mahkamah hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam individu termasuk dua remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan menguruskan rumah judi secara haram pada Ogos lalu.

Tertuduh, Leong Kah Chun 28, Chong Wei Quan 29, Pon Ja Ling 18, Yap Li Hua 19, dan dua remaja bawah umur berusia 17 tahun mengaku tidak salah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh pada 28 Ogos lalu, pada jam 4.45 petang di sebuah apartmen mewah di Robertson, Dang Wangi telah menguruskan rumah judi terbuka.

Tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan maksimum RM50,000 dan hendaklah juga dihukum dengan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan sebagai tambahan boleh didenda tidak kurang daripada RM 5,000 dan tidak lebih daripada RM 50,000 bagi tiap-tiap mesin judi yang disita.

Terdahulu,Timbalan Pendakwaraya, Nurilya Ellyna Nor Azmal menawarkan jaminan RM7,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam P Chandra memohon jaminan rendah memandangkan ada di antara anak guamnya yang masih bersekolah dan tidak bekerja.

Majistret Tawfiq kemudian membenarkan jaminan RM 4,000 bagi setiap tertuduh dan tarikh 19 Oktober depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel Berkaitan:

Mengikut fakta kes, pada 28 Ogos lalu jam 4.45 petang, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bertindak menyerbu apartmen itu dan membuat analisa ke atas komputer riba serta telefon bimbit yang digunakan.

Hasil daripada pemeriksaan serta analisa yang dibuat telah mengesyaki ada unsur-unsur perjudian dalam talian berkait item-item tersebut.

Kesemua tertuduh ditangkap kerana disyaki terlibat menjalankan aktiviti penipuan judi dalam talian.