Malaysia intai tiket acara recurve berpasukan ke Olimpik

Skuad memanah recurve lelaki negara dijangka menyertai dua pusingan Kejohanan Piala Dunia pada tahun hadapan.
Skuad memanah recurve lelaki negara dijangka menyertai dua pusingan Kejohanan Piala Dunia pada tahun hadapan.
A
A
A

SKUAD memanah recurve lelaki negara dijangka menyertai dua pusingan Kejohanan Piala Dunia pada tahun hadapan bagi memburu tiket acara berpasukan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bakal berlangsung pada Julai 2021.

Dua pusingan kejohanan berkenaan adalah pusingan kedua di Shanghai, China dari 17 hingga 23 Mei dan pusingan ketiga di Paris, Perancis dari 22 hingga 27 Jun.

Ketua jurulatih skuad memanah kebangsaan, Lee Jae Hyung berkata, skuad memanah recurve negara sebelum ini bakal menyertai Kejohanan Piala Asia di Bangkok, Thailand pada Mac 2021 sebagai medan pemanas badan sebelum menyertai dua Kejohanan Piala Dunia berkenaan.

“Kita masih ada ruang pada dua Kejohanan Piala Dunia yang menawarkan tiket dalam acara berpasukan recurve ke Sukan Olimpik Tokyo pada tahun hadapan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Jae Hyung berharap tiga pemanah negara dapat menggunakan peluang pada tiga kejohanan berkenaan untuk mengikuti Olimpian negara, Khairul Anuar Mohamad ke Tokyo kelak.

Tiga pemanah berkenaan ialah Haziq Kamaruddin, Mohd Akmal Nor Hasrin dan Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli.

Khairul Anuar sudah mengesahkan tiket ke Tokyo lebih awal selepas meraih pingat perak dalam acara recurve individu pada Kejohanan Dunia 2019 di Hertogenbosch, Belanda.

“Sekarang kesemua atlet kita masih menjalani latihan seperti biasa di Lapang Sasar Memanah Bukit Jalil sejak beberapa bulan lalu.

Artikel Berkaitan:

“Saya akan membuat penilaian dalam setiap pertandingan yang disertai pada tahun hadapan bagi memastikan hanya yang terbaik akan ke Sukan Olimpik sekiranya kita layak dalam acara berpasukan,” jelas Jae Hyung yang fasih berbahasa Melayu.

Gandingan Khairul Anuar, Haziq serta Mohd Akmal pernah layak ke Sukan Olimpik Rio 2016, namun gagal meraih keputusan positif dalam acara recurve individu dan berpasukan setelah tersingkir pada pusingan awal.

Sebelum menghadapi saingan antarabangsa pada tahun hadapan, skuad kebangsaan dijadual menyertai Kejohanan Memanah Kebangsaan yang bakal diadakan pada hujung tahun ini. - Bernama