X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

Gerakan orang muda imbangi veteran politik

Syed Saddiq berbual bersama anak muda yang hadir selepas tamat pertemuan Rundingan Muda Malaysia di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur semalam.
A
A

DI KEBANYAKAN masjid sekarang, sudah ada imam muda bertugas sekali gus menjadi pelapis kepada imam tua. Setiap kali tibanya waktu solat, imam-imam muda itulah yang lebih banyak mengetuai solat berjemaah.

Imam muda itu memimpin solat penuh bersemangat, membaca bacaan dalam rukun solat dengan jelas, lantang hingga dikagumi para jemaah dan ahli kariah.

Di mana imam tua? Adakah khidmatnya tidak lagi diperlukan lagi. Imam tua sebenarnya masih ada, tetapi lebih kerap menjadi makmum kerana baginya orang muda kena diketengahkan.

Dalam erti kata lain, imam tua sendiri sangat gembira kerana tempatnya sudah ada pengganti dan dia sangat bersyukur ada legasi baharu yang akan mengambil alih tanggungjawabnya sebagai imam kelak.

Tetapi, melihat ke dalam politik Malaysia, situasinya berbeza seperti kisah imam muda di atas. Imam atau pemimpinnya rata-ratanya masih orang lama yang berulang kali diangkat menjadi ketua.

Ruang orang muda untuk menonjol belum ada. Dalam erti kata lain, peneraju pimpinan kebanyakan parti kekal dibarisi golongan veteran.

Apabila Syed Saddiq Abdul Rahman tidak muncul di saf hadapan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 Ogos lalu, ramai yang tertanya-tanya di mana Ahli Parlimen Muar itu?

Sehinggalah beliau muncul memberi bayangan akan menubuhkan gerakan baharu yang ditunjangi golongan muda berbilang kaum dengan memberi fokus kepada anak muda sekali gus memecahkan monopoli politik tua Malaysia.

Profesional

Melihat pada pertemuan sulung gerakan yang dinamakan Rundingan Muda Malaysia di Kelab Sultan Sulaiman, Kampong Bharu, Kuala Lumpur kelmarin, ternyata 30 pemimpin anak muda yang menyertai beliau bukan sembarangan.

Dibarisi golongan muda profesional, aktivis, ahli akademik dan pendakwah, pengasas syarikat pemula selain ahli politik, sudah pastinya gerakan itu faham dengan jiwa orang muda itu sendiri.

Antara orang muda yang menyertai gerakan itu termasuklah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Abdul Jalil Rasheed dan beberapa pengasas syarikat pemula seperti Vinesh Sinha (FatHopes Energy), Nadhir Shafiq (TheLorry) dan Radzi Tajuddin (Hartabumi), Amir Abd Hadi (Liga Rakyat Demokratik), Cheryl Ann Fernando (pendidikan), dan Mutalib Uthman (Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku).

Turut dilihat hadir ialah Peguam Lim Wei Jiet; Pendakwah Pencetus Ummah, Rahmat Ikhsan (PU Rahmat) dan pemimpin muda politik iaitu Zaidel Baharuddin dan Ulya Aqamah Husamudin.

Melihat kepada barisan yang menganggotai gerakan tersebut, dijangka ia tidak menghadapi masalah untuk menyaingi dan mengimbangi politik sedia ada.

Sekiranya gerakan itu dimuktamadkan sebagai parti politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ia dijangka menarik lebih ramai pengundi baharu.

Tambahan pula, gerakan yang diwujudkan itu akan mewakili suara teknokrat muda, profesional dan ahli akademik, tidak seperti parti politik sedia ada yang terhad kepada sayap pemuda atau sayap wanita.

Menurut Syed Saddiq, apa yang cuba dibawanya adalah langkah awal mewakili undi anak muda Malaysia bagi menyuntik pembaharuan serta kepelbagaian idea baharu terhadap landskap politik, ekonomi dan sosial negara.

Jelas apa yang cuba dibawa oleh bekas Menteri Belia dan Sukan itu kelihatan sangat bertepatan dengan situasi politik terkini. Inilah masanya suara orang muda patut didengari.

Anak muda mahukan yang segar, kena dengan jiwa, teknologi yang seiring dengan gaya hidup mereka dan sudah tentu tidak mahu pemikiran lama diulang-ulang setiap kali musim pilihan raya umum berlangsung.

Di Thailand, anak muda di sana pernah menubuhkan parti Future Forward pada 2018, manakala di Perancis golongan sama menubuhkan En Marche di bawah Emmanuel Macron pada 2016.

Malaysia juga seharusnya ada wadah perjuangan untuk orang muda menyuarakan pendapat mereka.

* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Eksekutif Strategi Kandungan Sinar Harian


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!