100 hari pentadbiran: Wabak Covid-19 paling mencabar

Muhammad Sanusi (tengah) bersama kepimpinan negeri melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2035 di Seri Mentaloon hari ini.
Muhammad Sanusi (tengah) bersama kepimpinan negeri melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2035 di Seri Mentaloon hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Cabaran paling utama sepanjang 100 hari pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah ialah menangani penularan wabak koronavius (Covid-19).

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri telah mengambil tindakan sewajarnya dan memastikan semua agensi berfungsi dengan baik walaupun sehingga kini masih ada peningkatan kes.

Menurutnya, pandemik itu bukan sekadar ancaman kepada kesihatan malah sosial, gaya hidup dan ekonomi.

"Bagaimanapun, keputusan berkaitan Covid-19 diputuskan oleh kerajaan Persekutuan,” katanya, pada sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Pembangunan Kedah 2035 Sempena 100 Hari Pentadbiran Kedah Sejahtera di Seri Mentaloon hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan perlu mengimbangi dengan teliti antara keperluan melindungi kesihatan awam dengan menghidupkan semula ekonomi.

“Keadaan di Kedah masih terkawal walaupun kini berdepan gelombang kedua pandemik Covid-19. Kita telah mengetatkan kawasan tertentu seperti di Napoh dan Sungai Petani melalui Temco bagi mencegah penularan. Kluster Sivagangga sudah berakhir, kluster Tawar masih lagi dikuatkuasakan di Sungai Petani,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta kerjasama semua pihak mematuhi nasihat dan prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa dan bukan meletakkan amanah itu kepada petugas kesihatan, penguatkuasaan atau keselamatan semata-mata.

Mengulas mengenai kejayaan dicapai, katanya, ia bukan diukur berdasarkan idea baharu semata-mata sebaliknya termasuk usaha dalam mencari jalan penyelesaian kepada isu yang menemui jalan buntu dalam melaksanakan projek terdahulu.

Artikel Berkaitan:

“Pendekatan kita ialah memperkemaskan perancangan dan menyelesaikan isu-isu yang tidak mampu diselesaikan kerajaan terdahulu seperti tanah, penyediaan infrastruktur sokongan seperti bekalan air, elektrik dan gas.

"Kita juga meneruskan projek berimpak tinggi seperti Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (BKH-SBEZ), Kedah Rubber City (KRC), pembesaran Kawasan Perindustrian Berteknologi Tinggi Kulim (KHTP) Fasa 5 dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dirancang sejak sekian lama,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan projek berimpak tinggi diharap bakal melonjakkan ekonomi Kedah ke tahap lebih tinggi serta membuka lebih banyak peluang pelaburan baharu.

“Apabila berlaku perubahan kerajaan, segala perancangan yang dirancang akan berubah. Pendekatan sebegini tidak sihat dan merugikan rakyat kerana perancangan itu memerlukan usaha dan kos tertentu. Saya akan pastikan ia lancar kerana turut menggambarkan kejayaan pentadbiran saya,” katanya.