Ibu bapa perlu awasi keselamatan anak

 Jhangir (kiri) menziarahi ahli keluarga Muhamad Danish.
Jhangir (kiri) menziarahi ahli keluarga Muhamad Danish.
A
A
A

BALING - Ibu bapa yang tinggal berhampiran sungai dinasihati lebih berwaspada dengan keselamatan diri anak-anak mereka.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Penduduk daerah Baling (Perkeba), Jhangir Khan Kathem Khan berkata, ibu bapa disaran sentiasa mengawasi anak-anak dan tidak membiarkan mereka bersendiri.

"Budak-budak bukan tahu apa, rumah kita pula berhampiran sungai dan membolehkan anak-anak ini ke sungai bila-bila masa," katanya mengulas dua kejadian lemas di Sungai Ketil dalam tempoh empat hari.

Beliau berkata, pada musim kemarau, sungai, air terjun dan lata akan menjadi tumpuan keluarga untuk berkelah.

"Jadi diharap ibu bapa sentiasa awasi anak-anak. Bahaya tak kira tempat, di mana-mana sahaja boleh berlaku," katanya.

Sinar Harian pada 21 dan 24 Januari melaporkan kejadian lemas membabitkan kanak-kanak di Sungai Ketil.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak lemas dalam sungai

Pada kejadian Isnin, seorang kanak-kanak dari Kampung Bawah Gunung ditemui lemas akibat tergelincir dari tebing manakala selang tiga hari berikut, seorang lagi kanak-kanak berusia setahun enam bulan turut lemas namun sempat diselamatkan penduduk.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu mencerita kembali kejadian tragedi malang itu, ayah kanak-kanak mati lemas, Zefry Puteh, 35, berkata, dia meninggalkan sebentar Muhammad Danish kepada anak perempuannya berusia tiga tahun yang sedang bermain di halaman rumah.

"Saya tengok anak seorang lagi main tanah di luar jadi saya tinggalkan sebentar arwah dengan kakaknya dan masuk ke tandas sebentar.

"Bila keluar tengok-tengok si adik dah tiada, puas saya cari di luar rumah dan kawasan sungai dan akhirnya anak ditemui lemas oleh penduduk kampung," katanya.