Rakyat berhak tahu kebenaran: Guan Eng

Lim Guan Eng - Foto Bernama
Lim Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempertahankan keputusan kerajaan mendedahkan beberapa pindaan dalam Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Guan Eng berkata, rakyat berhak untuk mengetahui kebenaran yang berlaku disebalik pindaan laporan audit yang didakwa diarahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Adalah wajar untuk kerajaan jelaskan perkara ini. Yang penting ialah rakyat berhak untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada wajar untuk Jabatan Audit Negara mengeluarkan kenyataan semalam, mendedahkan beberapa pindaan yang dilakukan pada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB memandangkan perkara itu sudah dibawa ke mahkamah.

"Saya tak mahu komen sebab tidak mahu terpalit kontroversi dengan pegawai Najib tapi hasrat kita ialah nak bercakap benar dan biar rakyat tahu perkara sebenar.

"Sampai sebut Najib dan pegawainya boleh pinda dan gugur laporan, bukankah itu adalah pengkhianat," soalnya.

Dalam pada itu, Guan Eng turut mempersoalkan tindakan sebuah akhbar mengeluarkan berita mengenai pindaan itu lebih awal daripada kenyataan yang dikeluarkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad.

"Saya pun terkejut macam mana mereka tahu. Adakah mereka akan ditanya mana mereka tahu dan wajar atau tidak menyiarkan perkara itu jauh lebih awal.

“Saya rasa kena seimbanglah kerana dalam hal ini apa yang penting adalah rakyat berhak untuk mengetahui perkara yang sebenar,” katanya.

Artikel Berkaitan:


[ARTIKEL BERKAITAN: Nama Jho Low diarah gugur dari Laporan Akhir 1MDB]

Terdahulu, perenggan berkaitan kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB diarah digugurkan dalam penyediaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Menurut Madinah, perkara itu diarahkan bekas ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri, Tan Sri Shukry Salleh pada 26 Februari 2016 atas alasan ianya sensitif dan untuk mengelak fakta diputar-belit oleh pihak pembangkang ketika itu.

Madinah berkata beliau telah menyampaikan taklimat kepada mesyuarat Jemaah Menteri mengenai pindaan kepada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016.