Cech optimis Arrizabalaga bertahan di Stamford Bridge

Kepa Arrizabalaga
Kepa Arrizabalaga
A
A
A

BEKAS penjaga gol Chelsea, Petr Cech optimis Kepa Arrizabalaga akan kekal bersama The Blues dalam mengharungi saingan musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurut Cech, penjaga gol Sepanyol itu diakui sememangnya bergelut dengan prestasi tidak konsisten pada saingan domestik dan Eropah.

"Bagaimanapun tidak dapat tidak juga perlu diakui pada masa sama Arrizabalaga sentiasa berusaha memperbaiki prestasi sepanjang tempoh bersama Chelsea.

"Jika dilihat setiap perlawanan melibatkan penampilan Arrizabalaga baik sebagai kesebelasan utama atau sebaliknya dia sentiasa berusaha memberikan aksi terbaik pada tahap optimum pada musim lalu, itu sesuatu yang tidak dapat dinafikan semua.

"Tetapi apabila Chelsea melabur sejumlah wang yang banyak dengan kontrak jangka panjang untuk Arrizabalaga bermakna kelab ini mempercayai bahawa dia pemain yang berkualiti dan memiliki karakter untuk lebih berjaya pada masa depan," kata penasihat teknikal dan prestasi kelab itu.

Penjaga gol The Blues berusia 25 tahun itu sebelum ini dikhabarkan akan meninggalkan kelab London berkenaan setelah mengharungi musim suram bersama kelab kendalian Frank Lampard tersebut.

Petanda lebih jelas ketidaktentuan masa depan Arrizabalaga di Stamford Bridge adalah apabila dia disisihkan dari skuad final Piala FA menentang Arsenal diikuti Pusingan 16 Terbaik Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich.

Bagaimanapun Arrizabalaga tampil menegaskan penyisihan dalam dua pertandingan itu tidak mematikan semangatnya sebaliknya akan terus berjuang meraih kembali kepercayaan penuh Lampard.

Artikel Berkaitan:

Arrizabalaga dilihat lebih bersemangat apabila Lampard mula memperkukuhkan bahagian pertahanan The Blues dengan beberapa pembelian pemain baharu seperti Thiago Silva dan Ben Chilwell.

Pada masa sama Cech yang juga bekas penjaga gol Arsenal berusia 38 tahun itu tidak menafikan bahawa Chelsea akan membuat beberapa perubahan terhadap posisi penjaga gol tetapi menegaskan bahawa kelab itu tidak akan berputus asa dengan Arrizabalaga.

"Penambahan pemain akan dibuat untuk memperkuatkan cabaran kelab ini, bahkan mungkin juga penambahan pemain di posisi penjaga gol, dan inilah yang sedang dibincangkan sekarang oleh pengurusan.

"Tetapi saya yakin tidak ada yang menyerah pada Arrizabalaga dan kami semua berharap dia memiliki masa depan yang baik bersama kelab ini," katanya.

Chelsea meletakkan harapan tinggi kepada Arrizabalaga yang berstatus penjaga gol termahal dunia apabila direkrut dari Athletic Bilbao dengan harga 71.6 juta pound pada 2018.

Namun dengan kebolosan 54 gol pada saingan EPL musim lalu menimbulkan kesamaran posisi Arrizabalaga sebagai penjaga gol utama Chelsea.