Saravanan optimis Harimau Muda akan bangkit

Saravanan (dua dari kiri) harap rakan sepasukan Harimau Muda bangkit untuk menjadi lebih baik pada masa depan. - Foto Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia
Saravanan (dua dari kiri) harap rakan sepasukan Harimau Muda bangkit untuk menjadi lebih baik pada masa depan. - Foto Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia
A
A
A

PEMAIN tengah skuad bola sepak Bawah 22 Tahun (B-22) negara, T. Saravanan yakin pasukan itu akan bingkas bangkit mencatatkan keputusan positif pada masa akan datang selepas terpaksa pulang awal daripada saingan Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh.

Menurut Saravanan, biarpun skuad kendalian E. Elavarasan turun dengan taktikal terbaik serta semangat juang yang tinggi, nasib tidak menyebelahi mereka untuk memenuhi sasaran melangkah ke pusingan separuh akhir seperti yang ditetapkan.

"Tahun ini ikutkan pasukan sudah buat yang terbaik, namun kita tak mempunyai rezeki untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

"Nak kata banyak kekurangan dipamerkan pun tidak... jurulatih dan pemain sudah memberikan 100 peratus cuma apa yang dipraktik tidak dapat ditunjukkan di atas padang," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang selepas tiba dari Phnom Penh awal pagi Isnin.

Skuad Harimau Muda memulakan kempen Sukan SEA Kemboja dengan langkah kanan selepas menundukkan Laos 5-1 pada perlawanan pembukaan Kumpulan B.

Namun harapan mara ke separuh akhir terkubur selepas skuad negara mencatat kekalahan di tangan pasukan pilihan Thailand 0-2 dan Vietnam 1-2 masing-masing pada aksi kedua dan ketiga kumpulan.

Saravanan yang mewakili pasukan Kuala Lumpur City FC, pada masa sama meminta supaya barisan pemain skuad B-22 tidak menganggap keputusan dicatat di Phnom Penh ialah penamat kepada segalanya.

"Perjalanan kita masih jauh dan saya yakin para pemain akan sedar mengenai itu serta bangkit dalam perlawanan-perlawanan akan datang," katanya yang turut mencetak empat gol selepas skuad negara membelasah Singapura 7-0 pada aksi terakhir Kumpulan B. - Bernama