Isu 'tapau' ikan pun boleh jadi punca bergaduh

No Image Caption
A
A
A

SERONOK dengar cerita kawan Merak Jalanan tentang hobi memancingnya. Ada hari dapat ikan besar dan banyak, ada hari tidak dapat ikan langsung.

Katanya, dia memancing guna kaedah casting, teknik moden pakai umpan tiruan dan peralatan yang boleh tahan mahal harganya.

Kalau memancing kaedah biasa, cuma letak umpan seperti dedak khas atau umpan hidup seperti anak ikan.

Cerita kawan Merak Jalanan lagi, kalau guna kaedah memancing konvensional, peluang untuk dapat ikan agak tinggi berbanding teknik casting.

Cuma penggemar teknik casting ini merasakan ada cabaran dan keseronokan yang tersendiri berbanding kaedah-kaedah pancing yang lain.

Malangnya, ikan yang sering jadi buruan pemancing ini sudah berkurangan. Selalunya, mereka gemar mencari ikan toman, sebarau, peacock bass dan haruan.

Disebabkan itu, golongan pemancing teknik casting yang juga digelar sebagai caster mula mengamalkan konsep tangkap, bergambar dan lepas. Ada juga yang mengamalkan konsep beg limit iaitu ambil ikan dalam jumlah yang diperlukan sahaja.

Merak Jalanan dengar banyak perdebatan dalam kalangan pemancing tentang konsep yang mula diperkenalkan di Amerika Syarikat dan Jepun itu.

Artikel Berkaitan:

Golongan yang menentang konsep ini selalunya digelar ‘kaki tapau’ kerana mereka akan bawa balik seberapa banyak ikan yang boleh tanpa mengira saiz kecil atau besar.

Geli hati juga Merak Jalanan dengar kisah pemancing ini. Tentang ikan pun boleh bergaduh sesama sendiri.

Kalau di Amerika Syarikat, kaki pancing di negara itu memang ada amalkan pemberian permit untuk memancing pada musim-musim tertentu. Tujuannya untuk menjaga spesies ikan seperti salmon.

Eloklah juga kalau perkara yang baik itu diamalkan di Malaysia. Bukan apa, semuanya demi masa depan kita juga. Kalau ikan sudah pupus, bagaimana mahu memancing lagi?