Cabaran memulihkan maruah benteng negara

ISU disiplin dan kredibiliti institusi pertahanan negara sedang berlegar hangat ketika ini yang memerlukan perhatian serius.
Terkini, Kementerian Pertahanan (Mindef) telah mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan berlaku kegiatan tidak bermoral di dalam kem tentera seperti tular di media sosial.
Mindef memandang serius tuduhan tersebut kerana ia tidak mencerminkan budaya dan nilai ATM. Selain budaya ‘yeye’ yang mencetuskan perdebatan, kredibiliti pasukan keselamatan turut diuji dengan beberapa isu lain.
Pada akhir Disember lalu, bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan telah diarah bercuti serta-merta oleh Mindef bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan berkaitan dakwaan tertentu yang dilaporkan termasuk melibatkan proses perolehan Tentera Darat sejak 2023.
Kemudian, giliran laksamana Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula menjadi tumpuan. Namun, Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan yang dibangkitkan oleh aktivis politik, Chegubard.
Gabungan isu moral di kem tentera dan siasatan terhadap pegawai kanan menunjukkan bahawa ruang integriti serta disiplin dalam pasukan keselamatan kini berada dalam fasa yang memerlukan ketelusan dan respons telus daripada institusi berkaitan.
Pasukan keselamatan selama ini dipandang tinggi kerana peranan mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan keselamatan awam.
Sebarang dakwaan yang timbul sama ada berkait dengan aktiviti tidak bermoral atau proses perolehan adalah isu serius yang perlu disiasat secara menyeluruh dan profesional supaya kepercayaan rakyat tidak terhakis.
Dalam konteks ini, penting siasatan dijalankan secara telus dan tanpa kompromi dan hasilnya dikongsi dengan jelas kepada umum.
Ia bukan sahaja melindungi kredibiliti ATM dan keseluruhan sistem pertahanan tetapi juga memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti pasukan keselamatan negara yang seharusnya menjadi simbol disiplin, amanah dan tanggungjawab nasional.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
