Hanya 2 tembakan dilepaskan kepada penceroboh dalam 15 tahun

Mohd Zubil (dua dari kiri) mengiringi Ahmad Amzad (dua dari kanan) melawat pameran Maritim Malaysia di Galeri Skybridge di jambatan angkat Terengganu di sini malam tadi. - Foto Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hanya dua das tembakan dilepaskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terhadap nelayan asing yang bertindak agresif ketika dikesan menceroboh perairan negara selepas 15 tahun agensi itu beroperasi.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, ia termasuk tembakan amaran ke udara bagi mempertahankan diri, nyawa dan aset kerajaan sekiranya nelayan terbabit bertindak mengancam keselamatan.

“APMM juga mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan ‘Rules of Engagement’ penggunaan senjata api sebelum mengambilkan tindakan terhadap bot nelayan asing.

“Kita akan bertindak jika wujud kejadian yang mengancam nyawa anggota serta menyebabkan kerosakan harta benda kerajaan.

“Bukan suka-suka melepaskan tembakan, malah sejak penubuhan Maritim Malaysia pada 2005 iaitu kira-kira 15 tahun lalu, kita cuma pernah melepaskan dua tembakan termasuk dalam insiden yang berlaku baru-baru ini,” katanya pada sidang media selepas perasmian Pameran Maritim Malaysia.

Mohd Zubil (dua dari kiri) mengiringi Ahmad Amzad (dua dari kanan) melawat pameran Maritim Malaysia di Galeri Skybridge di jambatan angkat Terengganu di sini malam tadi. - Foto Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
Mohd Zubil (dua dari kiri) mengiringi Ahmad Amzad (dua dari kanan) melawat pameran Maritim Malaysia di Galeri Skybridge di jambatan angkat Terengganu di sini malam tadi. - Foto Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim di Galeri Skybridge, jambatan angkat Terengganu (drawbridge) serta sambutan ambang merdeka di sini malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi TI Properties Sdn. Bhd., Maliaman Kassim; Pengerusi dan Pengarah TI Properties Sdn Bhd, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurutnya, insiden tembakan antara APMM dan nelayan asing itu sudah dimaklumkan kepada kedutaan di kedua-dua negara dan kes itu masih dalam siasatan polis.

Terdahulu, APMM Kelantan terpaksa melepaskan tembakan amaran ketika berdepan satu daripada dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara selepas pasukan keselamatan itu dibaling bom diesel serta dilanggar bot asing berkenaan.

Insiden itu meragut nyawa seorang nelayan Vietnam apabila serpihan tembakan amaran itu terkena salah seorang daripada kru mereka.

Selain itu, kejadian kedua pula berlaku di Johor membabitkan seorang tekong warga Indonesia mati terkena tembakan ketika bergelut dengan anggota APMM selepas cuba menyeludup burung murai di perairan Tanjung Kelesa di Bandar Penawar.