Kemenangan bukti permuafakatan: Mohd Zaidi

Mohd Zaidi meraikan kemenangan dengan majoriti 10,945 undi pada PRK DUN Slim di pusat penjumlahan rasmi di Dewan Sri Tanjung Majlis Daerah Tanjung Malim malam ini. - Foto Bernama
Mohd Zaidi meraikan kemenangan dengan majoriti 10,945 undi pada PRK DUN Slim di pusat penjumlahan rasmi di Dewan Sri Tanjung Majlis Daerah Tanjung Malim malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

TANJUNG MALIM - Mohd Zaidi Aziz menyifatkan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim hari ini sebagai bukti permuafakatan parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mohd Zaidi, 43, berkata, rangka kerja serta semangat bekerjasama antara parti ketika 14 hari tempoh berkempen membuahkan hasil sehingga beliau memperoleh kemenangan dengan majoriti besar.

"Hasilnya terbukti dengan kekuatan, kejituan, kerjasama dan semangat toleransi sehingga berjaya kekal menang dengan majoriti besar malam ini,” katanya ketika ditemui media selepas pengumuman keputusan PRK berkenaan di Majlis Daerah Tanjung Malim di sini malam ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu menang dengan majoriti 10,945 undi setelah memperoleh 13,060 undi, menewaskan pencabarnya dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang meraih 2,115 undi dan bekas guru S Santharasekaran, 44, memperoleh 276 undi.

Sambil melahirkan rasa syukur dengan kemenangan itu, Mohd Zaidi turut berterima kasih kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN), PAS dan Bersatu dalam membantu kempennya.

Mohd Zaidi turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi di DUN berkenaan dan ahli keluarga beliau yang sentiasa memberi sokongan dan mendoakan kejayaannya.

Sementara itu, Santhasekaran berkata, PRK ini menjadi langkah pertama beliau sebelum memasuki gelanggang politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“PRU15 tidak lama lagi saya akan bertanding juga, mungkin untuk Parlimen, kita akan lihatlah kekuatan saya di mana nanti,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: