Terima ahli bukan Melayu, Bersatu boleh tersingkir dari MN

Syed Agil Alsagoff
Syed Agil Alsagoff
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima ahli bukan Melayu boleh menyebabkan parti di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tersingkir daripada Muafakat Nasional.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berkata, Bersatu seharusnya mengambil kira persefahaman di antara parti-parti dan dengan pendirian UMNO dan Pas.

Menurut Syed Agil, ini kerana, Muafakat Nasional yang dianggotai oleh UMNO dan Pas yang mengangkat pendirian memelihara bangsa Melayu dan Islam sebagai asas perjuangan pakatan parti politik berkenaan.

“Sekiranya Bersatu masih mahu meneruskan pendiriannya untuk membuka keanggotaan parti kepada bukan Islam (walaupun ahli bukan Islam tidak berhak untuk mengundi atau dicalonkan menduduki majlis tertinggi parti) ia memberi kesan terhadap persefahaman parti tersebut dalam Muafakat Nasional dan boleh tersingkir berikutan keputusan parti membelakangi pendirian gabungan parti Islam-Melayu tersebut,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah berkata, tindakan Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan bumiputera menjadikan parti itu tidak lagi layak berada dalam "pakatan Melayu-Islam yang didukung MN".

Minggu lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu program di Kuala Lumpur memberitahu parti itu sedia meminda perlembagaan bagi membolehkan ahli bukan Melayu memegang jawatan dalam parti berkenaan.

Difahamkan cadangan tersebut akan dibentangkan oleh jawatankuasa khas diketuai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim untuk dipersetujui bersama di peringkat MPT.

Ia berikutan kemasukan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan penyokongnya ke dalam Bersatu pada Ahad di mana sebahagian penyokong Azmin sebilangan besarnya bukan bumiputera.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Syed Agil berkata, hakikatnya semua anggota parti yang bernaung di bawah Muafakat Nasional seharusnya mempertahankan pendirian berhubung dengan mempertahankan Islam-Melayu sebagai asas perjuangan politik mereka.