Turki pertahan kedaulatan

Recep Tayyip Erdogan
Recep Tayyip Erdogan
A
A
A

PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan telah memperingatkan bahawa beliau tidak akan bertolak-ansur dalam isu kedaulatan.

Tegas beliau lagi, Ankara bertekad untuk melakukan apa sahaja yang diperlukan bagi mendapatkan haknya di Laut Hitam, Aegean dan Mediterranean.

Presiden Erdogan berkata demikian ketika menghadiri majlis memperingati kemenangan ketenteraan abad ke-11 oleh orang Seljuk Turki ke atas kerajaan Bizantium atau Empayar Rom Timur di Malazgirt.

Ketegangan antara Turki-Greek boleh dikesan sejak Greek berjaya membebaskan wilayahnya daripada Empayar Turki Ottmaniah pada tahun 1830. Turki dan Greek pernah berperang pada tahun 1897 serta 1919-1922 dan menghadapi pertikaian di Pulau Cyprus.

Hubungan Turki-Greek menjadi lebih tegang akibat tuntutan bertindih di Laut Aegean melibatkan kawasan Pulau Imia atau Kardak yang merupakan sepasang pulau kecil yang tidak berpenghuni. Imia/Kardak telah menjadi pertikaian antara Turki dan Greek sejak tahun 1996.

Pada Ogos 2020, keadaan menjadi tegang apabila Turki menghantar ‘Oruc Reis’ iaitu kapal peninjau ke perairan timur Mediterranean yang turut dituntut oleh Greek. Menurut Menteri Luar Greek, Nikos Dendias, negaranya tiada pilihan selain mempertahankan sempadan kebangsaannya.

Namun, Erdogan telah memberi amaran tegas kepada Greek supaya tidak mengundang kecelakaan.

Menurut Erdogan, Turki tidak berminat untuk campur tangan dalam urusan negara lain tetapi jika ia melibatkan kedaulatan Turki, maka beliau tidak akan bertolak-ansur sama sekali dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak.

Artikel Berkaitan:

Jerman telah menawarkan diri untuk menjadi pengantara dalam krisis tersebut. Walaupun Jerman bertindak sebagai pengantara, namun pada masa yang sama Greek turut mendapat sokongan Kesatuan Eropah.

Perkara itu telah menyebabkan Turki memberi Greek nama jolokan ‘anak manja Kesatuan Eropah’ dan mempertikaikan keikhlasan Greek dalam rundingan dengan memasukkan syarat-syarat yang berat sebelah serta menunjukkan sikap yang tidak mahu bekerjasama.

Turki
Turki

Neutral

Negara-negara Eropah tidak bersifat neutral dalam krisis tersebut. Misalnya, Perancis, Itali dan Cyprus telah memberi sokongan kepada Greek dengan mengadakan latihan ketenteraan di kawasan perairan timur Laut Mediterranean.

Menteri Ketenteraan Perancis, Florence Parly telah menegaskan agar semua pihak harus menghormati undang-undang antarabangsa dan menahan daripada menggunakan kekerasan bagi meredakan ketegangan.

Namun, ia sekadar retorik sahaja kerana Perancis telah menghantar tiga jet pejuang dan kapal perang yang dilengkapi helikopter ke perairan timur Mediterranean untuk latihan kenteraan.

Objektif sebenar ‘latihan ketenteraan’ adalah show of force bagi mengimbangi kekuatan tentera Turki dan memberi sokongan kepada Greek.

Tindakan negara anggota Kesatuan Eropah seperti Perancis dan Itali tidak membantu meredakan krisis di Laut Aegean, sebaliknya mengeruhkan keadaan. Malah, Presiden Perancis, Presiden Emmanuel Macron telah meminta Kesatuan Eropah untuk menyokong Greek dan Cyprus dengan mengenakan sekatan terhadap Turki.

Sejak kebelakangan ini, hubungan antara Kesatuan Eropah dan Turki menghadapi masalah akibat perselisihan faham melibatkan Turki dalam isu NATO dan Libya.

Selain itu, negara-negara Eropah telah membantah tindakan kerajaan Turki menukar status Hagia Sophia daripada muzium kembali sebagai sebuah masjid.

Turki masih tetap dihalang menyertai Kesatuan Eropah walaupun telah mencuba beberapa kali. Ia mungkin disebabkan identiti Islamik Turki yang bertentangan dengan idea sekularisme yang diperjuangkan oleh anggota Kesatuan Eropah.

Selain itu, sejarah suatu ketika dahulu Turki pernah menjadi sebuah empayar Islam yang unggul masih membimbangkan masyarakat Eropah dan pemimpin mereka sekiranya Turki akan bangkit semula.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya