X

Kindly register in order to view this article
!

Hutan Simpan Ulu Muda: SAM sokong tuntutan Kedah

Laporan Sinar Harian sebelum ini.
A
A

ALOR SETAR - Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengalu-alukan usaha kerajaan Kedah menuntut pampasan RM100 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk melindungi Hutan Simpan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air bagi kegunaan domestik dan pertanian.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menerusi laporan media ada menyebut kerajaan negeri telah berunding dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bagi mendapatkan pampasan untuk mengekalkan kawasan tadahan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik meneruskan dasar mengekalkan Hutan Simpan Ulu Muda sebagai hutan tadahan air dan melarang sebarang kegiatan pembalakan.

"Usaha berkenaan adalah demi kepentingan seramai 4.2 juta penduduk di negeri-beri seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang bagi kegunaan domestik, pertanian dan perindustrian.

ARTIKEL BERKAITAN: PBAPP sokong tuntutan Kedah RM100 juta pulihara Hutan Ulu Muda

"Kami gembira kerana Menteri Besar memahami kepentingan mengekalkan dan memelihara alam sekitar serta melindungi sumber air untuk masa kini dan untuk generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, SAM turut menggesa kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk menyegerakan usaha dalam menyalurkan sumber kewangan yang diperlukan kerajaan Kedah bagi melindungi kelestarian hutan Ulu Muda demi kepentingan umum.

"Sebagaimana yang kementerian sedia maklum, terdapat dana antarabangsa bagi perlindungan hutan yang boleh digunakan untuk membantu negeri-negeri yang ingin mengekalkan kelestarian hutan mereka.

"Hal ini memandangkan hutan sebegini menyumbang kepada khidmat ekosistem yang amat berharga terutama dalam memastikan jaminan bekalan air yang mencukupi, mengawal cuaca, melindungi kepelbagaian bio dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, SAM juga ingin menegaskan bahawa tujuan pemberian dana kepada kerajaan Kedah mesti dikekalkan kepada memelihara hutan Ulu Muda sahaja.

Meenakshi berkata, dana terbabit bukanlah bertujuan membayar pampasan kepada syarikat pembalakan yang telah dibatalkan konsesinya sebaliknya perlu disalurkan untuk kebajikan orang awam bukannya untuk syarikat pembalakan.

Katanya, sudah tiba masanya kerajaan Persekutuan mempamerkan kepimpinan dalam memberikan ganjaran kepada negeri-negeri melindungi hutan demi kepentingan umum dan membantu perlaksanaan komitmen antarabangsa Malaysia di bawah Perjanjian Paris dan Konvensyen mengenai Kepelbagaian Bio.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyokong tuntutan Kedah sebanyak RM100 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk memulihara hutan hujan di Ulu Muda sepenuhnya secara kekal.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!