Tiga wanita diberkas kes tipu

No Image Caption
A
A
A

KLANG - Tiga wanita yang disyaki sebagai keldai akaun membabitkan satu kes penipuan diberkas dalam serbuan berasingan, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek pertama berusia 27 tahun ditahan di Taman Senawang, Negeri Sembilan pada Selasa lalu selepas dipercayai terlibat kes penipuan pelitup muka berjumlah RM2,600 pada 7 Julai lalu.

Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa seorang lelaki tempatan membuat pembayaran RM2,600 dalam satu akaun bank bagi pembelian 50 kotak pelitup muka namun barang yang dijanjikan itu tidak diterima mangsa.

"Bagi kes kedua, suspek berusia 42 tahun ditahan di Jalan Pandan Indah Ampang, Selangor Rabu lalu kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan jual beli telefon bimbit jenis Iphone 6 bernilai RM1,950 pada tahun 2015.

"Kes ketiga pula, suspek berusia 34 tahun diberkas di Pontian, Johor, Rabu lalu, selepas dipercayai terlibat kes tipu pinjaman berjumlah RM16,680 pada Oktober tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai antara dua hingga lima rekod jenayah lampau berkaitan kes penipuan.

"Orang ramai perlu membuat semakan secara terperinci melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi melihat sama ada akaun itu pernah disiasat atau sebaliknya sebelum melakukan transaksi dan pembayaran," katanya.

Artikel Berkaitan: