Sabah milik Malaysia selama-lamanya

Sabah sudah menjadi sebahagian daripada Malaysia dan kedaulatan negara juga telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Sabah sudah menjadi sebahagian daripada Malaysia dan kedaulatan negara juga telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
A
A
A

PROVOKASI yang dilakukan oleh Filipina ke atas Malaysia terutamanya dalam isu tuntutan negeri Sabah semakin lama semakin membimbangkan.

Walaupun tuntutan itu sudah disuarakan sejak tahun 1962 oleh Presiden Filipina pada ketika itu, Diosdado Macapagal, tuntutan tersebut ketika itu tidak lebih daripada kenyataan sahaja sehinggalah pada tahun ini.

Terbaru, negara tersebut telah meluluskan rang undang-undang yang membenarkan Sabah dimasukkan sekali ke dalam peta pasport negara tersebut.

Tindakan itu jelas sekali merendah-rendahkan kedaulatan negeri Sabah yang telah pun bersetuju menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Kenyataan terbaharu Manila boleh menyemarakkan lagi semangat patriotisme kumpulan pengganas di selatan Filipina untuk menceroboh Sabah.
Kenyataan terbaharu Manila boleh menyemarakkan lagi semangat patriotisme kumpulan pengganas di selatan Filipina untuk menceroboh Sabah.

Sebelum kita berbicara lebih jauh mengenai isu ini, kita perlu menelusuri sejarah kenapakah Filipina terlalu beria-ia mahu menuntut Negeri Di Bawah Bayu itu daripada Malaysia.

Pada abad ke-15, keseluruhan wilayah utara Pulau Borneo termasuklah Sabah berada di bawah empayar Brunei. Pada kemuncak kekuasaan empayar Brunei, mereka menakluk sebahagian besar Pulau Borneo dan Pulau Palawan sehinggalah berlaku perang saudara pada tahun 1650.

Perang saudara yang berlaku ketika pemerintahan Sultan Muhammad Ali tersebut telah melemahkan empayar Brunei sehingga memaksa Sultan Muhammad meminta bantuan Sultan Sulu bagi menamatkan perang saudara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Selepas berjaya mengalahkan pihak lawan, Sultan Muhammad pada tahun 1658 telah menyerahkan Pantai Timur Sabah kepada Kesultanan Sulu bagi membalas jasa di atas bantuan yang telah diberikan.

Kedatangan penjajah Barat ke Kepulauan Melayu telah menghakis pengaruh Kesultanan Sulu secara perlahan-lahan ditambah pula dengan faktor masalah dalaman yang dihadapi mereka.

Apabila utara kepulauan Filipina berjaya ditawan oleh Sepanyol pada abad ke-18, pihak British pula cuba mencari jalan berkuasa di Sabah.

Pada 22 Januari 1878, North Borneo Chartered Company telah membuat satu perjanjian dengan Kesultanan Sulu untuk menyerahkan Sabah kepada mereka dengan bayaran 5,000 Malayan dollar setiap tahun.

Perjanjian itu berbunyi:

"Sudah kuredhai pajakan dengan keredhaan dan kesukaan kita sendiri kepada Tuan Gustavus Baron von Overbeck yang tinggal dalam negeri Hong Kong dan kepada Alfred Dent Esquire yang tinggal dalam negeri London... sampai selama-lamanya sekalian perintah dan kuasa yang kita punya yang takluk kepada kita di tanah besar Pulau Borneo dari Sungai Pandasan di sebelah barat sampai sepanjang semua tanah di pantai sebelah timur sejauh Sungai Sibuku di sebelah selatan."

Perjanjian yang ditulis dalam tulisan jawi inilah yang menjadi pertikaian sehingga ke hari ini kerana perkataan ‘pajakan’ dan ‘selama-lamanya’ telah digunakan. Pada tahun 1908, pihak British menyifatkan perkataan pajakan itu merujuk kepada ‘menggadai’.

Sepanjang pemerintahan British di Sabah, mereka telah membayar wang kepada Kesultanan Sulu setiap tahun. Bayaran ini diteruskan oleh kerajaan Malaysia bermula dari tahun 1963 dan berakhir pada 2013 lalu apabila berlaku pencerobohan berdarah di Lahad Datu.

Kesultanan Sulu hilang hak

Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam menegaskan Kesultanan Sulu sudah hilang hak menuntut Sabah apabila mereka menyerahkan wilayah dan kuasa politik kepada Amerika Syarikat (AS) melalui Perjanjian Carpenter yang ditandatangani pada 22 Mac 1915.

Ramlah Adam
Ramlah Adam

Pada tahun 1946 pula, North Borneo Chartered Company telah menyerahkan negeri tersebut kepada empayar British akibat daripada kemusnahan yang dihadapi pada Perang Dunia Kedua. Pada waktu itu, tiada bantahan langsung daripada Kesultanan Sulu.

Katanya, pemilikan Malaysia ke atas Sabah diperkuatkan lagi apabila negeri itu bersetuju menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

"Isu ini sepatutnya tidak lagi timbul, Sabah sudah menjadi sebahagian daripada Malaysia dan kedaulatan negara kita juga telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Mereka tiada hak langsung mahu menuntut Sabah.

"Dalam isu ini, kerajaan Malaysia seharusnya jangan melayan langsung tuntutan ini," katanya.

Katanya lagi, kerajaan perlu bertindak dengan membantah sekeras-kerasnya cubaan Filipina mahu meletakkan Sabah ke dalam peta pasport negara itu.

Tidak menguntungkan Filipina

Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Sauffiyan Hassan berkata, tindakan terbaru Filipina dalam isu tuntutan Sabah langsung tidak memberi apa-apa manfaat kepada negara tersebut kerana isu tersebut adalah isu yang tidak akan dibawa ke meja rundingan oleh Malaysia.

Ahmad Sauffiyan
Ahmad Sauffiyan

Katanya, Filipina seharusnya memberi perhatian serius terhadap krisis koronavirus (Covid-19) yang melanda negara itu kerana setakat semalam, 219,000 orang telah dijangkiti dengan lebih 3,000 kematian.

Kata Ahmad Sauffiyan lagi, provokasi terbaharu itu dibimbangi boleh meningkatkan semangat nasionalisme dalam kalangan kumpulan pengganas dari selatan Filipina yang terpengaruh dengan propaganda bahawa Sabah adalah hak mereka dan tidak teragak-agak untuk mengangkat senjata bagi menuntut Sabah.

"Krisis pencerobohan Lahad Datu 2013 adalah contoh jelas kesan propaganda dan provokasi Filipina ke atas Sabah yang berpanjangan sehingga mempengaruhi kumpulan militan Filipina untuk menceroboh negeri itu dengan berani.

"Walaupun Malaysia mempunyai anggota keselamatan yang terlatih dan persediaan yang lengkap di perairan dan sempadan Sabah, namun implikasi daripada kenyataan itu amat buruk akibatnya," kata beliau.

Salah seorang mangsa pencerobohan tentera Sulu di Sabah pada tahun 2013, Huraidah Urit telah kehilangan rumahnya di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu.
Salah seorang mangsa pencerobohan tentera Sulu di Sabah pada tahun 2013, Huraidah Urit telah kehilangan rumahnya di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu.

Ditanya sejauh mana isu tuntutan tersebut boleh berlarutan, Ahmad Sauffiyan berpendapat isu itu akan terus dimainkan oleh Filipina untuk tempoh yang sangat panjang.

"Isu tuntutan ini bukan sekadar satu gurauan kasar sebaliknya ia adalah satu ancaman keselamatan negara yang amat serius dan membimbangkan," tegasnya.

Selain itu, beliau yakin rakyat Sabah secara keseluruhan tidak akan bersetuju dengan tuntutan Filipina ini.

"Sebenarnya Filipina telah melakukan satu kesilapan besar kerana merosakkan hubungan baik antara dua negara," kata Ahmad Sauffiyan.