Abang tumbuk perut adik dipenjara tujuh bulan

Pengawal keselamatan dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini kerana menumbuk perut adiknya tahun lepas. (Gambar hiasan 123RF)
Pengawal keselamatan dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini kerana menumbuk perut adiknya tahun lepas. (Gambar hiasan 123RF)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap adik perempuannya dengan menumbuk perut mangsa, tahun lepas.

Majistret, Fardiana Haryanti Ahmad Razali menjatuhkan hukuman itu ke atas lelaki berumur 21 tahun tersebut selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh yang merupakan anak sulung daripada enam beradik itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 8 Februari lepas.

Ketika ditanya Majistret sebab tertuduh melakukan perbuatan tersebut dia berkata “tidak ingat”.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas adiknya yang berumur 16 tahun di sebuah rumah di Sungai Besi Jalan Lapangan Permai Off Jalan Istana di sini pada 10.30 pagi, 26 Jun 2019.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum iaitu setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman berjalan dari tarikh tangkap. - Bernama

Artikel Berkaitan: