Hadi Fayyadh mula pamer belang

Hadi Fayyadh
Hadi Fayyadh
A
A
A

PEMAIN muda negara, Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak yang kini bersama kelab Liga Divisyen 2 (J2) Jepun, Fagiano Okayama mula mencuri tumpuan apabila meledak hatrik ketika membelasah skuad Bawah 18 tahun kelab sama 5-0 dalam perlawanan latihan baru-baru ini.

Pada perlawanan itu Hadi Fayyadh mencetak hatrik pada minit ke-14’, 29’ dan 39’ selain bantuan gol minit ke 25’ ketika mengatasi skuad muda B-18 Fagiano Okayama yang kini berada kedudukan keempat saingan Liga Remaja daripada 12 pasukan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada menyifatkan tempoh masa yang diperlukan penyerang berusia 20 tahun dari Kuala Lumpur itu untuk mempamerkan prestasinya adalah merupakan proses normal di Jepun.

“Di Jepun, pemain muda mempunyai dua peluang untuk mendapat kontrak iaitu pada umur 18 tahun iaitu apabila selepas tamat belajar di akademi bola sepak atau apabila tamat belajar di sekolah menengah manakala pada umur 22 tahun apabila tamat belajar di universiti.

“Antara pemain-pemain baharu yang memasuki Liga-J musim ini, sebanyak 56 peratus pemain merupakan graduan baharu dari universiti, 30 peratus pemain merupakan graduan baharu daripada akademi bola sepak kelab Liga-J dan 14 peratus merupakan graduan baharu sekolah menengah.

“Semua mereka akan mengambil beberapa tahun menjalani latihan bersama sesuatu pasukan kelab. Ini adalah proses biasa di Jepun,” kata Hamada.

Tambah Hamada, barisan kejurulatihan Fagiano Okayama kini giat memantau Hadi Fayyadh bagi memastikan prestasinya meningkat kerana pemain itu mempunyai potensi besar untuk lebih berjaya pada masa depan.

“Jika Hadi Fayyadh diberi peluang beraksi dalam perlawanan sebenar liga, dia boleh dianggap sebagai pemain terbaik berbanding pemain muda berbakat di Jepun yang berusia lingkungan 18 hingga 22 tahun,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama Hamada berharap supaya rakyat Malaysia terus memberi sokongan padu kepada pemain seperti Hadi Fayyadh (Fagiano Okayama) dan Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk) yang berkelana di luar negara demi memartabatkan semula arena bola sepak negara dalam jangka panjang.

“Kita perlu beri mereka masa beberapa tahun kerana kita tidak boleh mengharapkan mereka diberi peluang berada dalam kesebelasan utama pasukan pada tempoh yang singkat.

“Di Jepun sekarang ini bagi pemain baharu, pemain lepasan universiti berusia 22 tahun lebih diberi keutamaan untuk ditawarkan kontrak bersama kelab berbanding pemain remaja.

“Hal ini disebabkan pemain ini lebih matang dan di Jepun mereka kini lebih mahu pemain yang mempunyai latar belakang pendidikan sekurang-kurangnya sebagai pelan sokongan jika sudah bersara ataupun tidak ditawarkan kontrak pada masa depan.

“Bukan mudah untuk pemain berbakat berusia bawah 18 tahun untuk beraksi dalam saingan liga utama selepas menyertai sesebuah kelab begitu juga Hadi Fayyadh yang menjalani proses latihan sama beberapa tahun selepas menyertai Fagiano Okayama,” katanya.