Penganggur dijel tujuh tahun rompak kedai insurans

Tertuduh mengaku bersalah merompak dan mencederakan pekerja di sebuah kedai insurans di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh mengaku bersalah merompak dan mencederakan pekerja di sebuah kedai insurans di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merompak sebuah kedai insurans serta mencederakan pekerjanya.

Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Nasran Nawi, 43, mengaku bersalah sejurus pertuduhan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan rompakan terhadap mangsa, Che Wan Nurul Atiqah Che Wan Mat Nizam, 19, dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kedai insurans di Jalan Kelantan, Durian Burung di sini pada jam 5.15 petang, 19 Ogos lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang ketika itu berada di dalam kedai berseorangan dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki tidak dikenali (tertuduh) sebelum meminta wang RM5.

Melihat gelagat tertuduh yang mencurigakan itu, mangsa segera mengambil sampul surat berisi duit pejabat yang disimpan di dalam laci meja untuk disorokkan lalu menyerahkan wang RM5 seperti diminta.

Artikel Berkaitan:

Namun tertuduh yang ternampak sampul surat dipegang mangsa terus bertindak pantas cuba merampas bungkusan di tangan wanita tersebut sebelum berlaku pergelutan.

Dalam pergelutan itu, tertuduh dikatakan bertindak menendang perut mangsa beberapa kali selain memukul di anggota badan lain sehingga menyebabkan kecederaan.

Suspek kemudiannya ditahan orang awam yang terdengar jeritan meminta tolong daripada mangsa.