X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Tiada unsur penipuan kos penyelenggaraan helikopter PDRM

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador. - Foto Bernama
A
A

GEORGE TOWN - Tidak ada unsur penipuan bagi isu terlebih bayar untuk penyelenggaraan bulanan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepertimana yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri Satu, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, PDRM tidak bertanggungjawab dalam pembayaran tersebut dan ia merupakan bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, serta dilunaskan berdasarkan kontrak.

Beliau berkata, PDRM juga sudah memberi penjelasan berhubung pembayaran bulanan helikopter tersebut kepada Jabatan Audit Negara, sebelum ini.

“Daripada apa yang saya dimaklumkan, berdasarkan kontrak syarikat penyenggaraan bersetuju memberikan diskaun 25 peratus kepada hanya tiga unit helikopter, manakala caj penyenggaraan unit helikopter keempat perlu dibayar penuh oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (KJSJN) Semalaysia Bil 3/2020 di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata, beliau juga akan meminta penjelasan lanjut daripada Jabatan Audit Negara mengenai laporan berkenaan, memandangkan pihaknya sudah menjelaskan mengenai pembayaran penuh caj penyenggaraan helikopter, yang dibuat sebelum ini.

“Apabila perkara ini dibangkitkan di dalam laporan tersebut, ia menunjukkan seolah-olah PDRM melakukan kecuaian,” katanya.

LKAN Tahun 2019 Siri 1 yang dibentangkan pada Isnin mendedahkan, PDRM membuat bayaran lebihan berjuta ringgit bagi penyenggaraan beberapa buah helikopter yang tidak aktif.

Laporan itu menyebut, bahawa Klausa 15.2 di dalam kontrak perkhidmatan penyenggaraan menyatakan, yang selepas enam bulan helikopter tidak aktif, bayaran tetap bulanan penyenggaraan helikopter yang dikenakan untuk satu helikopter, akan dikurangkan sebanyak 25 peratus. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!