JKDM kesan RM812 juta ketirisan hasil negara

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan sebanyak RM812 juta ketirisan hasil negara bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dan usaha mendapatkan semula hasil itu daripada syarikat yang terlibat giat dijalankan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Johari Alifiah berkata, antara kebocoran hasil yang dikesan adalah akibat daripada kegiatan mengelak cukai, fraud komersial, pengikraran nilai import yang rendah, kesalahan mengikrar kod tarif barangan, kekurangan membayar cukai output, tuntutan cukai input yang berlebihan dan penyalahgunaan kemudahan fasiliti zon bebas atau pelabuhan bebas.

"Sepanjang tahun lepas, JKDM mengesan sebanyak RM1.3 bilion ketirisan hasil negara dan hasil kerja keras menerusi beberapa operasi yang dijalankan pihak kastam, kami telah berjaya mendapatkan semula kira-kira 80 hingga 85 peratus daripada jumlah (ketirisan) tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Audit Bahagian Pematuhan JKDM Siri 1 Tahun 2020, di sini hari ini.

Beliau berkata, syarikat yang dikenal pasti melakukan kesalahan berkenaan perlu membuat pembayaran dalam tempoh 14 hari selepas surat arahan dikeluarkan dan jika gagal mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

Menurutnya, JKDM juga melaksanakan audit dan lawatan di premis syarikat, pengimport dan pengeksport yang berdaftar dengan pihaknya dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mematuhi undang-undang serta tidak melakukan penipuan dalam urusan pembayaran cukai.

"Kami menjalankan audit melalui kaedah bersasar. Selain itu, pihak yang diaudit juga akan diberi khidmat nasihat secara bersemuka bagi mendidik dan meningkatkan kefahaman berkaitan perundangan yang ditadbir JKDM. Pemahaman yang tinggi akan meningkatkan pematuhan," katanya.

Johari berkata, Bahagian Pematuhan JKDM merupakan cabang yang penting dalam kastam untuk mengesan ketirisan hasil negara dan bahagian itu bertanggungjawab melaksanakan pengauditan ke atas entiti perniagaan bagi memastikan segala perundangan yang ditadbir oleh pihaknya dipatuhi serta duit, cukai atau levi diikrar dan dibayar dengan betul serta tepat.

"Keupayaan pegawai-pegawai audit itu amat penting dalam menangani isu kebocoran hasil negara dan melaksanakan tugas pengauditan untuk mengesan ketirisan hasil melalui pembayaran cukai, duti atau levi yang tidak tepat. Had tempoh untuk tujuan pengauditan yang menyentuh tanggungan duti atau cukai adalah sehingga enam tahun ke belakang," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: