MB pertimbang jumpa ADUN Sabak

Amirudin (kiri) pada Majlis Penjenamaan Kolej Antarabangsa Inpens dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Program Penajaan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor di Kolej Antarabangsa Inpens di Kuala Selangor hari ini.
Amirudin (kiri) pada Majlis Penjenamaan Kolej Antarabangsa Inpens dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Program Penajaan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor di Kolej Antarabangsa Inpens di Kuala Selangor hari ini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sedang mempertimbangkan untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, Ahmad Mustain Othman yang dipecat daripada Amanah.

Amirudin berkata, terdapat banyak perkara yang tidak boleh didedahkan buat masa ini.

"Bila sampai masanya saya akan dedahkan sebab kita harus menjaga keharmonian polisi Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri supaya kestabilan negeri ini dapat dijamin," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Amanah pecat ADUN Sabak

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penjenamaan Kolej Antarabangsa Inpens dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Program Penajaan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor di Kolej Antarabangsa Inpens di sini hari ini.

Amirudin memberitahu, setakat ini, Ahmad Mustain merupakan anggota bebas dan menyokong penuh kerajaan PH.

"Beliau (Ahmad Mustain) masih sebahagian daripada kerajaan PH, cuma bezanya dia tidak bersama parti Amanah," katanya.

Ditanya mengenai khabar angin mengaitkan Ahmad Mustain menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) berikutan terdapat gambar pertemuan ADUN Sabak bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tersebar di media sosial, Amirudin memberitahu terdapat banyak desas-desus mengenai perkara itu.

"Banyak parti lagi selain PKR seperti Gerakan, Bersatu dan Pejuang. Ura-ura itu boleh timbul sekarang ini," katanya.

Artikel Berkaitan: