PRK KKB: Calon PRM mahu ke depan angkat suara rakyat

Hafizah (tiga dari kiri) pada sidang akhbar pada Jumaat.
Hafizah (tiga dari kiri) pada sidang akhbar pada Jumaat.
A
A
A

HULU SELANGOR - Parti Rakyat Malaysia (PRM) perlu diberi ruang untuk membawa perubahan besar kepada negara apatah lagi ia turut mengangkat idea baharu yang tiada kaitan dengan kerajaan terdahulu.

Calon PRM pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Hafizah Zainuddin mengakui perkara itu berkata, PRM sebagai sebuah parti bebas dan berkecuali yang tidak memihak kepada Kerajaan Perpaduan mahupun Perikatan Nasional (PN), turut memainkan peranan penting dalam membawa isu-isu rakyat.

Apatah lagi katanya, ketika ini masyarakat berdepan cabaran dengan isu kenaikan harga barang termasuklah peniaga yang dalam dilema memikirkan kenaikan tersebut yang boleh membebankan pengguna.

"Jika bukan PRM (Parti Rakyat Malaysia), siapa lagi yang berani ke depan untuk bersuara isu rakyat," katanya pada sidang akhbar di bilik gerakan utama PRM pada Jumaat.

Mengulas lanjut katanya, walaupun tiada pengalaman sebagai wakil rakyat, namun ia tidak menjadi masalah kepadanya yang merupakan aktivis sukarelawan, selain aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO), secara tidak langsung membantu beliau memahami isu masyarakat terutama usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan golongan berpendapatan rendah (B40).

Beliau yang turut menampilkan enam manifesto berjanji akan melaksanakannya jika diberi mandat sebagai wakil rakyat di DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini.

Jelasnya, walaupun wujud halangan penyaluran peruntukan disebabkan PRM bukan mewakili blok Kerajaan Perpaduan, namun katanya, banyak saluran bantuan boleh digunakan untuk kebajikan DUN Kuala Kubu Baharu, selain memastikan rakyat tidak terlepas mendapat bantuan sewajarnya.

"Kadang kala masyarakat tidak tahu platform membuat aduan dan memohon bantuan, ada wakil rakyat tapi mereka tidak dapat bantuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Ada banyak kerenah birokrasi seperti pengisian borang yang menyusahkan warga emas.

"Apabila tidak tahu kaedah, mereka terlepas saluran bantuan tersebut," katanya.

PRM mengemukakan enam manifesto PRK Kuala Kubu Baharu melibatkan pertumbuhan ekonomi terutama Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta koperasi komuniti diikuti hub teknologi tumbuhan herba bagi perubatan tradisional dan ketiga ialah ekonomi pelancongan.

Manifesto seterusnya mewujudkan pusat khidmat, kelima ialah penumpuan aspek infrastruktur serta terakhir meningkatkan peruntukan kebajikan kepada keluarga penjawat awam rendah, wanita, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.

Hafizah akan menentang calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao; Khairul Azhari Saut daripada PN dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!