Polis terima satu laporan monyet, biawak dipanah

Gambar penganiayaan terhadap monyet dan biawak yang tular sejak semalam.
Gambar penganiayaan terhadap monyet dan biawak yang tular sejak semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menerima satu laporan daripada seorang kakitangan Jabatan Landskap Negara berhubung kejadian penganiayaan terhadap monyet dan biawak yang dikatakan berlaku di Taman Rimba Kiara di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, kejadian dikatakan berlaku pada jam 5.18 petang dan siasatan di tempat kejadian pula mendapati tiada sebarang rakaman kamera litar tertutup.

"Sehingga kini, kita hanya menerima satu laporan polis tetapi siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zairulnizam berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh salurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Safwan di talian +60193811029.

Semalam, tular di laman sosial tangkap layar dan video yang memaparkan seekor monyet dengan busur panah tertusuk di bahagian ekornya manakala satu gambar lain memaparkan seekor biawak dianiaya dengan cara sama iaitu busur panah tertusuk di bahagian badan haiwan berkenaan.

Zairulnizam memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang jika disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

ARTIKEL BERKAITAN: Ganjaran RM5,000 pemberi maklumat monyet, biawak mati dipanah

Artikel Berkaitan: