Uncle Kentang agih bantuan bernilai RM400,000

Kuan Chee Heng
Kuan Chee Heng
A
A
A

PUCHONG - Hampir RM400,000 nilai barangan sudah diagihkan aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

Chee Heng berkata, beliau turut membantu syarikat korporat mengedarkan lebih 6,000 ekor ayam di kawasan pangsapuri kos rendah di sekitar Puchong dan Cheras dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, inisiatif tambahan pemberian bantuan ketika Covid-19 itu dilakukannya selepas beliau menerima banyak panggilan daripada mereka yang terkesan dan terputus bekalan makanan.

“Hari-hari hingga ke hari ini pun ada orang hubungi saya minta bantuan makanan.

“Sejak awal PKP dilaksanakan, hampir 5,000 orang sudah dibantu dan majoritinya adalah wanita yang dipotong gaji dan dibuang kerja,” katanya kepada Sinar Harian.

Chee Heng yang juga Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia, berkata, beliau percaya ramai kanak-kanak yang kurang makan ketika penularan Covid-19.

Katanya, beliau banyak menerima permohonan bantuan untuk mendapatkan susu dan lampin pakai buang.

“Saya sedih ada yang beritahu mereka terpaksa bagi anak minum teh o bagi menggantikan susu yang sudah habis kerana tak ada duit.

Artikel Berkaitan:

“Saya bantu mereka hasil sumbangan rakan Facebook dan penderma lain. Setiap hari tanpa gagal kami agihkan bantuan kepada yang memerlukan,” katanya.