Semangat hijrah mendepani cabaran

No Image Caption
A
A
A

SEMANGAT dan pengajaran Maal Hijrah yang baru kita sambut memberi kekuatan kepada rakyat Malaysia dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19 dan usaha memulihkan ekonomi negara.

Sambutan tahun ini mungkin tidak sama seperti tahun-tahun sebelumnya, namun semangat dan pengajarannya tetap menambah kekuatan khususnya dalam mendepani cabaran wabak Covid-19. Cabaran juga perlu ditempuhi dalam usaha memulihkan ekonomi negara akibat ramai yang terjejas pendapatan dan hilang pekerjaan.

Umat Islam di Malaysia menyambut kedatangan Maal Hijrah dengan pelbagai program kerohanian namun masih lagi mematuhi SOP yang ditetapkan. Hal ini bersesuaian ajaran Islam yang menyarankan umatnya agar kita mengelakkan kemudaratan.

Kalau sebelum ini sambutan Maal Hijrah diserikan dengan perarakan dan berselawat beramai-ramai, namun kali ini tidak dibenarkan.

Mengambil iktibar Maal Hijrah, kita dituntut untuk berhijrah dan berubah kepada sesuatu yang lebih baik. Perlu mengubah pemikiran, sikap, tingkah laku dan tindakan agar lebih produktif. Kita tidak perlu mengeluh dengan dugaan yang menimpa. Namun perlu mencari jalan keluar agar segala kemelut dapat diatasi.

Semangat hijrah Nabi Muhammad SAW wajar diambil pedoman dalam situasi berhadapan wabak Covid-19 sekarang ini. Hijrah mengajar umatnya agar sentiasa bersiap siaga dan berusaha dalam memastikan setiap matlamat dapat dicapai dengan jayanya di samping berdoa dan bertawakal.

Kesukaran hidup kesan wabak telah dirasai dan memerlukan motivasi dan semangat juang yang tinggi. Sebenarnya banyak hikmah yang melingkari wabak ini. Beberapa inovasi dan kreaktiviti tiba-tiba muncul dan mengganti cara lama. Pendekatan normal baharu bukan sahaja menyentuh soal rutin harian, tetapi cara kita berniaga, bersosial malah berpolitik.

Banyak perkara yang selama ini kita lalui, namun tidak lagi menjadi kebiasaan. Namun kita diberikan pedoman dengan pilihan lain sebagai pengganti.

Artikel Berkaitan:

Paling penting adalah bagaimana semangat Muhajirin dan Ansar wajar dipraktikkan oleh kita semua dalam usaha membantu mereka yang hilang mata pencarian mereka akibat wabak yang telah melanda.

Pedoman

Kesukaran hidup mengingatkan kita bahawa peristiwa hijrah mengajar umatnya sentiasa menyerahkan segala daya usaha hanya kerana ALLAH. Semoga tahun baharu hijrah yang disambut ini memberi nilai dan kekuatan kepada kita dalam menempuh cabaran yang mendatang.

Perjalanan hijrah Nabi Muhammad SAW ialah suatu perjalanan kemenangan Islam. Perjalanan yang diperintahkan oleh ALLAH SWT yang sudah tentu bukan sebuah perjalanan pelarian seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Perjalanan hijrah Nabi Muhammad SAW yang penuh berliku adalah episod pengorbanan dan kejayaan seorang Rasul pembawa obor keimanan.

Peristiwa hijrah Rasul yang menjadi inspirasi kepada ummah mempunyai pelbagai hikmah dan pengajaran. Ia merakamkan betapa besar maknanya perintah hijrah ini dalam kelangsungan membawa syiar Islam sebagai agama tauhid.

Malah, kejayaan dakwah Nabi Muhammad SAW amat berkait rapat dengan strategi khususnya dalam menjawab sebarang tohmahan musuh-musuh Islam terhadap usaha dakwah Nabi SAW.

Peristiwa hijrah mencerna minda kita bahawa betapa perancangan yang teratur dan strategik menjadikan rancangan hijrah itu berjalan dengan begitu sempurna di sebalik dugaan yang mendatang.

Pendekatan berstrategik juga dapat dibuktikan bagaimana tokoh-tokoh penting dalam hijrah Nabi SAW sebagai pembantu Nabi yang pintar dalam strategi risikan dan perang saraf, bantuan makanan dan lain-lain lagi.

Maka hijrah dalam Islam sebenarnya memberi hikmah bahawa umat Islam hendaklah meyakini bahawa hijrah Nabi Muhammad SAW adalah perintah daripada ALLAH SWT.

Umat Islam hendaklah memastikan setiap hijrah ke arah kebaikan didahului dengan perancangan yang rapi dan sentiasa berusaha untuk berhijrah ke arah yang lebih baik bagi mendapat ganjaran dan keredaan ALLAH SWT.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara