Dua lelaki menyamar polis diburu

Rakaman suspek.menarik tangan mangsa tular di media sosial.
Rakaman suspek.menarik tangan mangsa tular di media sosial.
A
A
A

AMPANG - Polis sedang memburu dua lelaki yang disyaki menyamar anggota polis dan menyamun seorang wanita warga China di Pandan Perdana, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya sedang mengesan dua suspek yang telah dikenalpasti itu.

"Dalam kejadian pada jam 7 malam itu, mangsa berusia 29 tahun sedang minum bersama rakannya di sebuah kedai makan, sebelum didatangi tiga lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Mohd Azam berkata, suspek telah bertindak memegang kedua-dua belah tangan mangsa dan kemudian menariknya ke kawasan letak kereta.

"Orang awam telah memberi bantuan kepada mangsa setelah terdengar jeritannya meminta tolong.

"Dua suspek kemudian melarikan diri manakala seorang lagi suspek berusia 46 tahun berjaya ditahan. Siasatan mendapati dia merupakan anggota polis berpangkat koperal (status tahan kerja)," katanya.

Menurutnya, mangsa mengalami kerugian wang tunai kira-kira RM5,000 dan barangan peralatan solekan wanita.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azam memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan.