Covid-19: Tiada kes baharu Kluster Tawar

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada kes positif Covid-19 baharu melibatkan Kluster Tawar membabitkan lima penularan dalam negara yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, kesemua penularan dalam negara dikesan di Sarawak melibatkan dua warga tempatan dan tiga warga asing.

Menurutnya, kesemua pesakit dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan.

"KKM turut merekodkan dua kes import yang masing-masing mendapat jangkitan ketika berada di Filipina dan Amerika Syarikat.

"Pertambahan tujuh kes baharu menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 meningkat kepada 9,274 kes," katanya.

Beliau berkata, jumlah kes aktif yang sedang dirawat ialah 184 kes membabitkan lapan kes dirawat di unit rawatan rapi dan lima memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham memberitahu, tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan dan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 kekal 125 kes

Menurutnya, enam kes telah pulih dan dibenar discaj hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah 8,965 kes iaitu bersamaan 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Sementara itu, KKM meneruskan aktiviti saringan walaupun tiada kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar.

"Sehingga jam 13 tengah hari tadi, seramai 3,436 orang telah disaring dalam kluster ini," katanya.