Pas tidak haramkan ulek mayang, gamelan jika patuhi garis panduan

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pas tidak mengharamkan tarian tradisional Terengganu, ulek mayang dan gamelan selagi ia mematuhi garis panduan ditetapkan dan tiada pergaulan bebas seperti bercampur antara lelaki dan wanita.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, aktiviti kesenian dan kebudayaan yang dianggotai lelaki dan wanita perlu dipacu ke arah jalan yang betul terutama di negeri yang diperintah kerajaan Pas.

“Ulek mayang mengikut apa yang saya lihat zaman dulu, pengaruh syirik tu masih ada dan ia adalah budaya yang tak sihat.

“Tetapi, ia boleh diubah dengan cara yang baik sebagai satu aktiviti yang bermoral, bukan seperti dirasuk sebagaimana yang dipraktikkan sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Seni dan Hiburan Menurut Islam di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), di sini, hari ini.

Katanya, terdapat garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan aktiviti itu tidak melanggar batas yang ditetapkan.

“Aktiviti seni ini perlu dilaksanakan dengan mematuhi garis panduan yang betul iaitu tidak melekakan, tidak melalaikan dan tiada pergaulan bebas yang boleh memberi kesan negatif sebagaimana diputuskan oleh kerajaan negeri.

“Pakaian pula mesti menutup aurat dan batas pergaulan mesti dijaga,” katanya.

Ditanya mengenai aktiviti kesenian melibatkan bukan Islam, katanya, golongan itu tidak terikat dengan garis panduan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Bukan Muslim tidak terikat dengan garis panduan itu. Terpulang kepada mereka untuk praktis kesenian dan kebudayaan sesama mereka. Kita tak boleh campur, dengan syarat diizinkan oleh budaya mereka.

“Mereka ada budaya mereka sendiri dan kita tahu budaya mereka juga mementingkan akhlak yang baik,” katanya.

Mengulas mengenai kesenian di Kelantan, katanya, aktiviti kesenian tradisional negeri itu telah mempraktikkan garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri itu.

“Macam di Kelantan, kita benarkan dikir barat dengan seni kata yang baik, benarkan wayang kulit bukan lagi memuja dewa-dewa yang tak ada, yang tak wujud.

"Kesenian warisan kebudayaan mereka juga boleh diteruskan, tetapi mengikut garis panduan yang betul,” katanya.