X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Azmin tak kejar jawatan, utama kepentingan rakyat

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menunjukkan kad ahli selepas mengisi borang keahlian Bersatu pada Majlis Kongres Negara. Foto: Bersatu
A
A

KUALA LUMPUR - Tanggungjawab meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai agenda utama lebih penting daripada mengejar jawatan, kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, tanggungjawab tersebut termasuklah mewujudkan kestabilan politik dan kerajaan, sekali gus membantu mengukuhkan ekonomi negara dan sistem perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya dan rakan-rakan mengambil satu keputusan yang besar untuk bersama-bersama memperkukuhkan Bersatu dan menjamin kestabilan kerajaan PN, pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tumpuan kita pada hari ini untuk membantu rakyat yang sedang berhadapan dengan suasana yang cukup getir akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan sambutan Bulan Kebangsaan 2020 dan melancarkan Kempen Kesedaran Covid-19 peringkat kementerian di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN Kumpulan Azmin sah sertai Bersatu, sokong Muhyiddin

Semalam, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti tersebut bakal membincangkan mengenai pelantikan Mohamed Azmin sebagai seorang daripada naib presiden dan ia akan dibincangkan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) kelak.

Sekiranya dilantik untuk jawatan naib presiden tersebut, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, agenda memastikan Bersatu sebagai wadah rakyat akan terus diperkukuhkan dengan komitmen yang berterusan sekali gus menjamin kestabilan politik negara.

“(Walaupun Malaysia menghadapi) ketidaktentuan politik, krisis ekonomi akibat kejatuhan menjunam harga minyak dunia, krisis kesihatan, tetapi dengan ketegasan dan kepimpinan yang ditunjukkan, Malaysia telah muncul sebagai salah sebuah negara yang telah berjaya memulihkan keadaan ini.

“Sudah tentu kestabilan politik antara perkara yang penting diberi pertimbangan (oleh para pelabur). Ini yang kita sedang lakukan dan kita telah mula melihat satu suasana yang positif. Saya yakin kalau keadaan ini berterusan, (serta) komitmen yang diberikan amat kuat, Malaysia akan kembali pulih pada 2021,” tambahnya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!