Aminuddin rayu pengundi awal pilih PH demi kesinambungan pembangunan

PORT DICKSON - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru pengundi awal yang akan menunaikan tanggungjawab mereka esok supaya memberikan sokongan kepada PH bagi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat di negeri itu dapat diteruskan.
Beliau berkata, mandat yang diberikan kepada PH amat penting untuk memastikan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk penyediaan perumahan mampu milik terus diperkasakan demi manfaat rakyat.
“Esok bermulanya pengundian awal. Saya mohon kepada semua pengundi awal supaya memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan kerana apa yang telah kita laksanakan memberi banyak manfaat kepada rakyat termasuk pengundi awal di Negeri Sembilan.
“Saya menyeru mereka supaya keluar mengundi dan memberikan undi kepada Pakatan Harapan demi kesinambungan pembangunan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Segenting di sini pagi tadi.
Mengulas mengenai manifesto, Aminuddin yang juga calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, kerajaan negeri komited meneruskan agenda penyediaan 20,000 rumah mampu milik yang disasarkan kepada rakyat Negeri Sembilan.
Menurutnya, tumpuan diberikan kepada pembinaan rumah berharga RM250,000 ke bawah melalui pelbagai inisiatif termasuk Rumah Mampu Milik (RMM), Rumah Harapan serta Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Katanya, Rumah Harapan yang dibina di atas tanah milik sendiri atau keluarga dengan kebenaran pemilik menawarkan harga sekitar RM85,000 bergantung kepada kos semasa dan tanpa dikenakan faedah sehingga pinjaman selesai dibayar.
“Usaha ini bukan sahaja membantu rakyat memiliki kediaman, malah menghidupkan semula kampung-kampung supaya terus didiami dan berkembang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan hubungan erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan berjaya membawa projek PPR ke beberapa kawasan termasuk Jempol, Linggi dan Nilai, sekali gus memperluaskan pilihan perumahan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Aminuddin mendakwa beberapa tawaran yang dibawa pihak lawan dilihat hampir sama dengan dasar yang telah dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini.
“Ini menunjukkan apa yang telah kita lakukan mendapat pengiktirafan sehingga dijadikan rujukan. Kali ini kita tambah baik dengan memperluaskan manfaat bukan hanya kepada golongan B40, malah turut memberi keutamaan kepada M40,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang memainkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) sepanjang kempen pilihan raya.
Katanya, tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan unsur hasutan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian rakyat di Negeri Sembilan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
